Pelbagai cara dilakukan oleh pasangan suami isteri yang teruja untuk berkongsi jantina anak mereka.
Di Emirah Arab Bersatu (UAE) misalnya, sepasang suami isteri menggunakan pencakar langit ikonik, Burj Khalifa sebagai medium untuk mendedahkan jantina bayi kedua mereka!
Pasangan YouTuber popular Dubai, Anas dan Asala Marwah mencetus fenomena apabila menganjurkan sebuah parti secara besar-besaran hanya semata-mata untuk mengumumkan jantina anak mereka.
Mereka mendedahkan jantina anak kedua mereka dengan memancarkan perkataan “It’s a boy!”, menggunakan cahaya lampu berwarna biru pada menara setinggi 828 meter itu.
Ternyata, acara berkenaan bukan sahaja membuatkan ahli keluarga dan para tetamu yang hadir berasa teruja, malah ia di turut mencuri perhatian masyarakat dunia selepas mendapat lebih 10 juta tontonan di laman YouTube.
Di dalam video berdurasi 15 minit 12 saat itu, Asala memberitahu, acara itu sangat bermakna buatnya berbanding hari perkahwinannya.
“Jantung saya berdegup kencang dan bagaikan ingin keluar dari dada saya. Ia adalah momen yang sangat mengujakan berbanding hari perkahwinan kami.
“Saya sentiasa cuba untuk memberikan kandungan yang tidak pernah diberikan oleh sesiapa di saluran (YouTube) kami,” ujar Asala ketika ditemubual di dalam video berkenaan.
Hanya semata-mata untuk berkongsi jantina zuriat mereka, dia dan suaminya membelanjakan RM394,772 (AS$95,000).
Acara berkenaan telah dirancang oleh mereka secara rapi dalam tempoh sebulan setengah.
“Kami mahu lakukan sebuah acara yang unik supaya ia boleh diingati pada masa akan datang,” kata Asala kepada penontonnya.
Malah, Anas berkata, dia mahukan semua peminatnya mengingati momen indah itu setiap kali memandang pencakar langit berkenaan.
“Tanpa kalian semua, semua ini tidak akan berlaku,” ujar Anas lagi.
Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan menimang cahaya mata sulung, Mila setahun kemudian.
Majlis berkenaan disifatkan mereka sebagai acara yang sederhana dan hanya dihadiri oleh ahli keluarga serta sahabat rapat.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !