Rang undang-undang itu diluluskan dalam sesi pleno pada Khamis yang dipengerusikan oleh Speaker Puan Maharani dan disiarkan secara langsung menerusi Parliamen TV.
Menurut Puan, pindaan itu memperkenalkan tiga perubahan utama termasuk memperluaskan peranan TNI dalam tugas bukan perang, meningkatkan kehadiran anggota tentera dalam kementerian, dan melanjutkan tempoh perkhidmatan tentera.
Antara pindaan paling hangat diperdebatkan ialah Perkara 7, yang memperluas skop operasi ketenteraan bukan tempur daripada 14 kepada 16 peranan, dengan penambahan pertahanan siber serta bantuan kepada warganegara di luar negara.
Perkara 47 pula meningkatkan bilangan kementerian yang boleh dianggotai oleh anggota tentera aktif daripada 10 kepada 14, dengan syarat mereka perlu meletak jawatan atau bersara daripada perkhidmatan tentera terlebih dahulu.
Sementara itu, Perkara 53 melanjutkan tempoh perkhidmatan tentera berdasarkan pangkat, dengan kerajaan berhujah bahawa langkah ini menjamin keadilan dalam pasukan bersenjata.
"Kami, bersama kerajaan menegaskan bahawa pindaan ini tetap berlandaskan prinsip demokrasi, supremasi awam dan hak asasi manusia, sejajar dengan undang-undang nasional dan antarabangsa," kata Puan.
Menjelang sesi undian, lebih 5,000 anggota keselamatan dikerahkan ke Jakarta apabila para penunjuk perasaan berkumpul berhampiran kompleks Parlimen.
Ketua Polis Jakarta Pusat, Susatyo Purnomo Condro dalam satu kenyataan menegaskan bahawa anggota keselamatan diberi arahan untuk bertindak secara "berperikemanusiaan" dan tidak dibenarkan membawa senjata api.
Demonstrasi yang diketuai oleh Gabungan Badan Eksekutif Pelajar Indonesia (BEM SI) dan gabungan masyarakat sivil menarik kira-kira 1,000 peserta.
Penunjuk perasaan mendakwa pindaan itu boleh mengembalikan fungsi dwifungsi tentera, satu ciri utama pemerintahan autoritarian Presiden Suharto, yang membolehkan angkatan tentera mempunyai kuasa politik dan pengaruh dalam sektor awam.
"Rang undang-undang ini mengancam supremasi awam. Kita tidak boleh membenarkan tentera kembali berpengaruh dalam politik," kata BEM SI dalam satu kenyataan.
Demonstrasi serupa juga dijangka berlangsung di seluruh negara, dengan para pengkritik memberi amaran bahawa pengukuhan peranan tentera dalam pentadbiran kerajaan boleh merencatkan reformasi demokrasi Indonesia.
-- BERNAMA
