PARIS: Petinju wanita Algeria, Imane Khelif yang meraih kontroversi di Sukan Olimpik Paris 2024, baru-baru ini mengenai status jantinanya, memohon semua pihak untuk menghentikan tindakan membuli atlet.

Khelif, 25, mendedahkan dia telah menerima kecaman dan kritikan yang sangat hebat susulan tanggapan masyarakat terhadap jantinanya dan perbuatan itu tegasnya lagi menjatuhkan maruah manusia.

Dalam temuramah eksklusif bersama rakan video sukan rasmi AP, SNTV, dia berkata, dirinya secara peribadi terjejas teruk dengan kecaman masyarakat antarabangsa.

“Saya mahu menghantar mesej kepada dunia, untuk memegang teguh prinsip Olimpik dan Carta Olimpik, dan elakkan daripada membuli kesemua atlet, kerana perbuatan ini mempunyai kesan yang amat mendalam.

“Ia mampu memusnahkan individu, dan juga membunuh pemikiran, semangat, dan minda individu itu. Ia boleh memecahbelahkan masyarakat. Dan untuk itu saya merayu mereka untuk berhenti daripada perbuatan membuli,” katanya lagi.

Kemenangan Khelif dan seorang lagi petinju Taiwan, Lin Yu-ting di dalam gelanggang pada Ahad telah menjadi antara kisah terbesar dalam Sukan Olimpik Paris.

Khelif mengalami simptom perbezaan dalam pembangunan seksual (DSD), iaitu mempunyai kromosom XY, yang membuatkannya mempunyai fizikal seakan-akan seperti lelaki dewasa.

Yu-ting dan Khelif dibenarkan bertanding di bawah garis panduan mengenai kelayakan jantina Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC), biarpun gagal melepasi ujian tertentu Persekutuan Tinju Antarabangsa (IBA).

Ketika ini kedua-dua mereka sudah melepasi pusingan suku akhir, yang menyaksikan mereka buat pertama kali layak mendapat kedudukan pingat.