Itu yang ditegaskan oleh jurucakap Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams, dalam kenyataan terbaharu hari ini.
Ia bagi menafikan situasi kritikan dan pertelagahan yang berterusan dari pelbagai pihak selepas insiden perlawanan antara atlet Algeria itu dengan Angela Carini dari Itali yang terpaksa menarik diri selepas beberapa saat berlangsungnya perlawanan.
Pendirian IOC itu sememangnya bercanggah dengan keputusan yang pernah dibuat oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) yang pernah membatalkan penyertaan Khelif tahun lalu ketika beliau beraksi dalam Kejohanan Dunia Wanita yang berlangsung di New Delhi selepas didapati gagal melepasi kriteria kelayakan jantina.
Bagaimanapun Mark Adams ketika mengadakan satu sidang media menjelaskan bahawa tidak pernah ada isu membabitkan transgender yang ditimbulkan oleh Khelif, sebaliknya ia adalah tanggapan yang silap oleh beberapa pihak.
"Wanita ini telah bertanding dalam beberapa pertandingan sejak beberapa tahun lalu. Bagaimanapun harus diingat bahawa ujian testosterone bukanlah satu ujian yang segalanya tepat dan sempurna.
"Ramai wanita yang mungkin akan disingkirkan seandainya kita hanya bergantung kepada ujian tahap testosterone semata-mata yang mungkin akan disimpulkan seseorang atlit wanita itu sebagai 'lelaki' sedangkan mereka adalah wanita tulen," tegasnya dalam sidang media tersebut.
Sehingga saat ini jelasnya pihak IOC akan mempertahankan pendirian bahawa Khalef adalah kekal berstatus wanita dan layak untuk meneruskan acara yang disertainya dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam masa yang sama pendirian itu juga turut diguna pakai terhadap seorang lagi atlet tinju wanita dari Chinese Taipei, Lin Yu Ting yang turut dipertikaikan status kewanitaannya pada kejohanan kali ini. -- Stadium Astro
*Tonton strim langsung Sukan Olimpik Paris 2024 di Astro, Astro GO, and sooka.