Sorakan "Imane" bergema dari tempat duduk ketika Khelif menguasai lawannya Janjaem Suwannapheng dari Thailand untuk mengesahkan peluangnya mengulangi kejayaan rakan senegara Hocine Soltani yang memenangi emas acara 'lightweight' pada 1996.
Khelif meraikan kemenangannya dengan tarian di gelanggang ketika penyokong Algeria bersorak riang.
Penyertaan Khelif dan peninju acara 'featherweight' Chinese Taipei Lin Yu-ting telah mencetuskan kontroversi antarabangsa sejak Khelif mengalahkan Angela Carini dari Itali dalam masa hanya 46 saat dalam pertarungan pembukaannya Khamis lepas.
Khelif dan Lin telah disingkirkan oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) semasa Kejohanan Dunia tahun lepas kerana gagal memenuhi kriteria kelayakan jantina.
Bagaimanapun, IBA yang tidak lagi diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana isu tadbir urus gagal memberikan sebarang bukti mengenai penemuan mereka.
Pada Isnin, sidang media IBA bertukar kecoh apabila presidennya Umar Kremlev membuat dakwaan tidak berasas mengenai Lin dan Khelif serta mengecam presiden IOC, Thomas Bach.
Khelif dan Lin dibenarkan kembali bertanding oleh IOC yang mengendalikan kejohanan tinju Paris 2024 dengan berkesan semasa ketiadaan IBA.
Kes itu telah menarik minat global dengan tokoh seperti bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan penulis Harry Potter JK Rowling, turut memberikan pandangan mereka mengenai isu berkenaan.
-- BERNAMA