PARIS: Omar Khelif yang juga bapa petinju dari Algeria, Imane Khelif, mempertahankan anaknya dengan menjelaskan Imane dilahir dan dibesarkan sebagai seorang perempuan ketika perdebatan mengenai jantina dalam sukan tinju berterusan.

Imane didakwa menyertai acara tinju wanita Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai lelaki.

Imane dan peninju dari Taiwan, Algeria Lin Yu-ting kedua-duanya dibenarkan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menggunakan kriteria yang berbeza daripada Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) yang telah menyingkirkan kedua-duanya daripada dari Kejohanan Dunia tahun lalu akibat keputusan ujian kelayakan yang tidak dinyatakan.

Imane memenangi perlawanan pusingan ke-16 terakhirnya dengan Angela Carini dalam kategori wanita 66 kilogram dalam masa hanya 46 saat pada Khamis selepas petinju Itali itu menarik diri, dengan berkata: “Saya lebih suka berhenti demi kesihatan saya.”

Kenyataan Carini itu sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kelayakan Imane.

"Anak saya seorang perempuan. Dia dibesarkan sebagai perempuan. Dia seorang gadis yang kuat. Saya membesarkannya untuk menjadi seorang yang rajin dan berani. Dia mempunyai semangat yang kuat untuk bekerja dan berlatih.

"Lawannya dari Itali tidak dapat mengalahkan anak perempuan saya kerana anak saya lebih kuat dan lebih lembut," kata Omar kepada Sky News.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Thomas Bach, juga menegaskan bahawa tidak pernah ada "keraguan" bahawa Imane dan Yu-ting kedua-duanya wanita.

"Kita bercakap dengan jelas tentang tinju wanita. Kita mempunyai dua petinju yang dilahirkan sebagai wanita, yang dibesarkan sebagai wanita, yang mempunyai pasport sebagai wanita dan yang telah bertanding selama bertahun-tahun sebagai wanita.

"Ini adalah definisi jelas seorang wanita. Tidak pernah ada keraguan tentang mereka sebagai wanita.

"Apa yang kita lihat sekarang adalah sesetengah orang mahu menentukan definisi siapa itu wanita. Di situ, saya hanya boleh menjemput mereka untuk mengemukakan definisi baharu yang berasaskan sains tentang siapa itu wanita dan bagaimana seseorang yang dilahirkan, dibesarkan, bertanding, dan mempunyai pasport sebagai wanita tidak boleh dianggap sebagai wanita.

"Jika mereka mempunyai sesuatu, kami bersedia untuk mendengar, kami bersedia untuk menelitinya, tetapi kami tidak akan menyertai konflik budaya yang bermotifkan politik.

"Biarkan saya katakan bahawa apa yang berlaku dalam konteks ini di media sosial dengan semua ucapan kebencian, dengan agresif dan penyalahgunaan yang dibakar oleh agenda ini adalah benar-benar tidak boleh diterima," kata Bach.

Terdahulu, atlet tinju dari Itali, Carini menarik diri selepas hanya 46 saat beraksi di gelanggang dalam acara tinju wanita di Sukan Olimpik Paris sekali gus menuntut keadilan terhadap dirinya.

Keputusan itu dibuat selepas tidak mampu menahan asakan Iman yang didakwa secara biologi adalah seorang lelaki namun dibenarkan bertanding dalam kategori wanita sekali gus menimbulkan kontroversi. - Agensi