WELLINGTON: New Zealand melaporkan kes pertama COVID-19 melibatkan varian Omicron XE, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu.

Kes itu melibatkan individu yang baru pulang dari luar negara dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

"Individu itu tiba di New Zealand pada 19 April kemudian menjalani ujian saringan COVID-19 pada 20 April sebelum disahkan dijangkiti varian itu," menurut kementerian.

New Zealand pada Sabtu melaporkan 19 kematian akibat COVID-19, dengan 7,930 kes komuniti dan 494 dimasukkan ke hospital.

Selain itu, sebanyak 55 kes baharu COVID-19 dikesan di sempadan dan sejak pandemik bermula, New Zealand telah melaporkan 875,794 kes jangkitan.

-- BERNAMA