Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari New Zealand Christopher Luxon berkata aliran bantuan kemanusiaan yang pantas, besar-besaran, tanpa halangan dan berterusan ke Gaza amat diperlukan.
"Para pemimpin juga menggesa gencatan senjata segera dan kekal. Ini adalah kewajipan di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi Luxon selama tiga hari ke Malaysia bermula Ahad (1 Ogos), baik Malaysia mahupun New Zealand tidak mahu melihat konflik merebak di rantau itu.
Peningkatan ketegangan di rantau itu menjadikan gencatan senjata di Gaza lebih mendesak, menurut kenyataan berkenaan.
Perdana Menteri turut menggesa semua pihak untuk bertindak secara rasional dan mengurangkan ketegangan.
Sementara itu, pada sidang media bersama Anwar di sini hari ini, Luxon berkata mungkin terdapat perbezaan pendapat mengenai Hamas, "tetapi apa yang kedua-dua negara sangat bersetuju ialah keperluan untuk melihat gencatan senjata segera di rantau itu."
"Saya sebenarnya menerima kunjungan Perdana Menteri Qatar (Mohammed Abdulrahman Al-Thani) seperti yang anda sedia maklum, di Wellington beberapa minggu lepas. Beliau bersama Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha untuk membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan dan itulah yang diperlukan di sini," katanya.
"Dan Perdana Menteri lain, dalam kenyataan yang telah kami keluarkan bersama Kanada dan Australia sebagai kenyataan tiga pihak, kami mengeluarkan tiga kenyataan yang semuanya menyeru gencatan senjata segera."
Menurut Luxon, Malaysia dan New Zealand menyedari kebangkitan ekstremisme ganas dan mahu mengekalkan perpaduan sosial dalam masyarakat yang semakin berbilang budaya, dan itu adalah perkara yang "kami akan terus usahakan".
"Terdapat 195 negara di dunia yang tidak bersetuju dalam segala-galanya...kami juga tidak bersetuju dalam semua perkara dan itu agak normal tetapi saya boleh katakan bahawa kami tidak mempunyai rakan yang lebih rapat di Asia selain Malaysia. Ini adalah hubungan yang telah lama terjalin sejak beberapa dekad.
"Dan apa yang kami tekad untuk lakukan adalah untuk terus mencari titik persamaan bagi bekerjasama dan memajukan perkara yang boleh kami lakukan bersama...kami berdua bersependapat dalam menyeru gencatan senjata segera, membawa pihak-pihak ke meja rundingan dan akhirnya mencari penyelesaian dua negara, " katanya panjang lebar.
Sementara itu, Anwar berkata beliau mengakui dan menyatakan penghargaan terhadap kenyataan terbaru yang dikeluarkan New Zealand bersama rakan kongsi lain, mengenai keperluan segera melaksanakan gencatan senjata dan mencari penyelesaian damai secara baik.
Agensi Berita Palestin (WAFA) pada Ahad melaporkan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan angka kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Okt meningkat kepada 40,738 kematian yang dilaporkan, manakala 94,154 individu mengalami kecederaan.
Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak, menurut laporan itu.
-- BERNAMA