Ibu negara India, New Delhi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga tahap tertinggi, kerana bimbang kemungkinan berlaku keganasan susulan ucapan Hafiz Saeed yang membuat ancaman terbuka ke atas negara berkenaan.

Hafiz merupakan perancang serangan Mumbai pada 2008.

Pihak perisikan India menyatakan, wujud kemungkinan New Delhi diserang pada Khamis ini, ketika ia menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan India.

Selain New Delhi, bandar-bandar utama India lain turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Hafiz sebelum ini menyampaikan ucapan di Islamabad, Pakistan di mana dia dilaporkan mengugut India secara terbuka.

Hafiz dari pertubuhan Jamat-ud-dawa, Pertubuhan Induk bagi Laskar-E-Taiba yang melancarkan serangan ke atas Mumbai pada November 2008.

Antara lokasi yang dikawal ketat ialah bangunan Parlimen dan Kota Merah.

Tahap keselamatan juga diperketatkan di pusat membeli-belah.

Hafiz, orang yang dikehendaki di India, masih bebas di Pakistan.

Keenganan Pakistan mengambil tindakan ke atas Hafiz dilihat mampu mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara itu yang sentiasa dalam keadaan tegang.