NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 13 orang maut pada Rabu selepas meminum arak tiruan di negeri Tamil Nadu, India.

Kematian berlaku di daerah Kallakurichi, kira-kira 250km dari ibu negeri Chennai.

Mangsa mengalami kehilangan penglihatan dan pendengaran secara tiba-tiba, sakit perut dan muntah, menurut laporan media tempatan.

Kira-kira 50 orang, sebahagian besar daripada mereka golongan miskin dengan gaji harian, jatuh sakit selepas meminum arak murah yang dijual dalam pek plastik dan ramai yang sedang menerima rawatan di hospital.

Ketua Menteri negeri, M.K. Stalin berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam penjualan arak haram itu.

Peminum yang tidak mampu membeli arak berjenama sering membeli arak tiruan daripada penjual haram.

Kematian akibat membeli minuman keras haram bukan perkara luar biasa di India.

Seramai 22 orang mati akibat arak beracun di daerah Villupuram dan Chengalpattu, Tamil Nadu pada Mei tahun lepas.

Di negeri Gujarat di barat India, yang pengambilan dan penjualan arak secara rasmi dilarang, arak tiruan membunuh 46 orang pada Julai 2022.

Pada 2019, arak haram membunuh 150 orang di negeri Assam di timur laut dan kira-kira 100 orang di negeri utara Uttarakhand dan Uttar Pradesh.

-- BERNAMA