ACARA Mobile World Congress Shanghai berlangsung minggu ini dan Huawei sebagai gergasi penyedia telekomunikasi telahpun mengambil pentas utama dalam berkongsi beberapa perkembangan baharu dan kali ini, mereka banyak memperkatakan mengenai 5G-Advanced (5G-A) atau boleh juga dikenali sebagai 5.5G.

Di Malaysia sendiri, Huawei dan Maxis telah pun memperlihatkan 5.5G yang pertama di Asia Tenggara pada Februari lalu yang menyaksikan ujian kelajuan 8Gbps dicapai.

Richard Liu, President Pemasaran dan Penjualan Solusi ICT Huawei harini telah berkongsi sedikit sebanyak potensi 5G-A apabila disuntik dengan AI.

Sama ada sedar atau tidak, setiap hari semakin banyak perkara berasaskan teknologi pastinya menerima suntikan AI dan memberi manfaat kepadanya.

Dengan rangkaian 5G-A yang semakin laju dan menyokong lebih banyak pengguna serta peranti, bidang AI akan memberikan manfaat kepada tiga perkara iaitu kepada Perhubungan Manusia, Kereta Berhubung, dan juga Peranti Berhubung.

Pertamanya adalah bagaimana pengalaman manusia sejagat akan bertambah baik hasil penyatuan 5G-A dan juga AI di mana perkara seperti pencarian barangan yang dibantu dengan cadangan AI, penstriman video yang dapat dioptimasikan berasaskan algoritma, membolehkan video 3D dengan resolusi 8K dibantu oleh AI bagi memaparkannya dan hanya memakan ruang selama 1.1GB untuk video bersaiz 2 minit.

Selain dari itu, pembangunan komponen interaktif berasaskan AI telah mula popular di China. Huawei sendiri turut ada membangunkan program AI Avatar yang akan mewujudkan avatar pengguna, dan avatar tersebut mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa dan memberikan terjemahan dalam masa nyata.

Seterusnya adalah berkenaan Kereta Berhubung. Dengan banyaknya kenderaan pintar yang turut bersambung ke internet, memerlukan teknologi 5G-A bagi membolehkan kenderaan tersebut sentiasa memberikan yang terbaik kepada pengguna, baik dari segi pengalaman mahupun cara penggunaan kereta yang baharu.

Richard menyatakan yang mana kereta berhubung patut memfokuskan 2 pengalaman utama iaitu pengalaman hiburan dan juga pengalaman interaksi, di mana pemain multimedia dalam kereta tersebut perlukan menyokong kelajuan muat-turun mencapai Gbps.

Dan dari segi interaksi, seharusnya 5G-A yajg dilengkapi AI boleh melakukan diagnostik kereta berhubung, dan juga dapat mengawal muzik atau panggilan.

Bagi cara baharu memandu, kebanyakan kereta berhubung mempunyai pelbagai sensor dan juga kamera yang membantu pemanduan tanpa pemandu.

Kesemua ini memerlukan penghantaran data dilakukan dalam masa nyata, dan Huawei turut merasakan yang mana pada tahun 2028 akan terdapatnya 4 juta kenderaan swapandu yang tidak memerlukan pemandu kerana keupayaan AI telah sempurna pata tahun itu.

Akhir sekali adalah keupayaan peranti berhubung mempunyai potensi hasil dari rangkaian telekomunikasi yang telahpun menghubungkan hampir 10 bilion penduduk.

Richard menjangkakan angka ini akan bertambah besar pada 2030 yang mana jangkaan sekitar 74% atau 9.8 bilion manusia akan saling berhubung.

Di sinilah perlunya pembangunan pesat dalam membangunkan pembantu AI serta pekerja yang boleh membantu pelbagai industri.

Satu pembantu AI untuk setiap manusia akan dapat mengoperasikan pelbagai peranti yang berhubung, dan turut belajar dan membuat keputusan berdasarkan input sedia ada hasil dari peranti berhubung masa kini seperti kaca mata pintar, jam tangan pintar dan pelbagai lagi.

Pekerja AI pula merupakan lanjutan dari mesin-mesin di kilang, dan ini dikawal oleh satu AI utama yang bertindak seumpama pengarah kilang tersebut, menghasilkan produk yang lebih tepat dan pantas.

Dengan kedua-dua ini, bakal menghasilkan hampir 10 bilion pembantu dan pekerja AI.

Dalam menjayakan pembantu dan pekerja AI, telah banyak yang Huawei lakukan baik dari segi kelengkapan, mahupun penggunaan pada skala besar.

Dengan wujudnya pelbagai peranti yang boleh merakam secara 3D menggunakan dua kamera 8K 120fps dan 6 darjah pergerakan (6DoF), video spatial dapat dijana, memberikan lebih pemahaman berkenaan ruang tersebut.

Kelengkapan seperti ini juga dapat memberikan maklumat kepada pembantu AI bagi menganalisa segala aspek interaksi yang dilakukan.

Salah satu hasil adalah lombong arang pintar dengan pemantauan secara panorama di mana terdapat lebih 100 kamera 14Mbps yang menuatnaik data melebihi 1Gbps.

Oleh itu perlunya rangkaian yang menyokong AI ini mempunyai 5 komponen utama iaitu kesalinghubungan yang memerlukan semua rangkaian menyokong 5G-A dengan kelajuan gigabit dan kadar pendam masa yang rendah, pengesanan sensor peranti berhubung, penghantaran data secara nirhilang (lossless), pengkomputeran yang menyokong pemprosesan pada skala besar dan juga sistem storan berprestasi dan berkapasiti tinggi bagi menyimpan segala hasil dari AI ini.

Dalam membangunkan rangkaian yang menyokong AI, perlunya juga dibangunkan AI untuk rangkaian dan beroperasi secara sendiri (Autonomous Network – Swarangkaian).

Swarangkaian ini membolehkan rangkaian saling berhubung dengan rangkaian lain secara sendiri, namun dengan banyaknya peranti berhubung serta sistem berhubung sejajar kemajuan teknologi, perlunya pembangunan Swarangkaian yang dapat mengendalikan kesemua ini.

Ia terbahagi kepada 6 tahap (L0-L5), dan Huawei ingin lebih banyak rangkaian yang menyokong L4 dengan lebih segera.

Salah satu manfaat 5G-A dengan AI adalah dalam memaksimumkan pendapatan, hasil dari pengalaman dan juga perkhidmatan yang semakin meningkat.

Pendapatan adalah tulang belakang untuk kebanyakan evolusi teknologi baharu, dan dengan penghantaran data yang semakin meningkat berdasarkan permintaan pengguna, pengalaman pengguna juga akan menghasilkan permintaan baharu.

Contoh jika dahulu permintaan untuk robot yang menyusun barangan dapat memaksimumkan keuntungan, dengan robot tersebut yang lebih banyak berkhidmat di kilang pintar dapat juga mengoptimasikan operasi secara menyeluruh, dan terus menjana keuntungan.

Kedua-dua ni akan saling bergantung, bagi memastikan pembangunan perniagaan.

Richard turut menyimpulkan dengan kemajuan 5G-A dan disuntik dengan pembangunan dan kebolehan AI yang semakin pesat, akan lebih banyak peluang terhasil dari produktiviti pintar. -Amanz