OPENAI ialah syarikat yang paling terkenal apabila bercakap mengenai pembangunan teknologi AI, dengan pengenalan ChatGPT dan juga teknologi mereka dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat teknologi lain seperti Microsoft dan sebagainya, ia tidak mengejutkan untuk mengetahui bahawa mereka juga mengembangkan penggunaan mereka di China.

Akan tetapi perkara tersebut nampaknya bakal berakhir apabila OpenAI mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa mereka akan meninggalkan pasaran China pada 9 Julai ini. Perkara ini dilihat bukan kerana kerajaan China menghalang perkhidmatan OpenAI di China, tetapi sebaliknya, ia dilihat kerana kerajaan Amerika Syarikat yang tidak mahu akses diberikan kepada perkhidmatan AI buatan syarikat Amerika dari dimanfaatkan oleh kerajaan China.

Menurut beberapa laporan yang hadir, syarikat-syarikat teknologi AI dari Amerika Syarikat lain juga dijangka akan keluar dari pasaran China dalam masa terdekat ini sekiranya sekatan teknologi tambahan diumumkan tidak lama lagi.

Walaupun begitu, ini bukanlah sesuatu yang akan merungsingkan pihak kerajaan China, kerana syarikat-syarikat teknologi mereka sendiri sudahpun bersedia untuk mengambil-alih dari OpenAI dan Meta dengan model bahasa-raya mereka sendiri.

Syarikat-syarikat seperti Tencent, Baidu, Alibaba dan Zhipu sudahpun bersedia untuk menawarkan pengganti untuk mengisi kekosongan yang akan ditinggalkan oleh OpenAI kelak, dari segi latihan, penggunaan token API dan sebagainya. Syarikat-syarikat China dijangka boleh menggantikan perkhidmatan AI OpenAI tanpa begitu banyak masalah.

Di China, model bahasa-raya perlu melalui pengesahan daripada kerajaan tersebut sebelum ia boleh dilancarkan dan digunakan oleh mana-mana syarikat di negara tersebut. Pembangunan teknologi AI juga adalah sesuatu yang sudahpun lama dibangunkan, dan dari 200 syarikat yang sudah memohon untuk pengesahan ini, lebih seratus syarikat sudahpun disahkan untuk digunakan oleh syarikat-syarikat China.

Sumber: Digitimes