OPENAI kini memasuki arena ketenteraan pula apabila melakukan kerjasama dengan Anduril yang terlibat dalam penghasilan dron bagi kegunaan ketenteraan.

Menerusi kerjasama ini, kecerdasan buatan (AI) OpenAI digunakan bagi meningkatkan misi keselamatan Amerika Syarikat (AS) menerusi perisian Lattice yang dibangunkan oleh Anduril.

Anduril mempunyai beberapa dron kamikaze yang boleh digunakan untuk menangkis dron buatan musuh.

Dengan OpenAI, sistem yang lebih bijak dapat dibangunkan bagi kegunaan medan perang.

Anduril dan OpenAI akan meneroka cara model AI terkini boleh dimanfaatkan untuk memproses data sensitif dengan pantas, mengurangkan beban pengendali manusia dan meningkatkan kesedaran situasi.

Model-model ini, akan dilatih menggunakan pangkalan data Anduril yang membantu melindungi anggota tentera AS dan sekutu, serta memastikan kejayaan misi.

Sebelum ini, Anduril juga telah bekerjasama dengan Microsoft bagi menyokong set kepala IVAS.