DALIAN (China): Malaysia dan Indonesia wajar meneroka peluang yang lebih besar dalam ekosistem pembangunan syarikat pemula (startup) di kedua-dua negara.


Ringkasan AI
  • Kebersamaan dan Nilai Serumpun: Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno, menyatakan bahawa Malaysia dan Indonesia perlu meneroka peluang yang lebih besar dalam ekosistem pembangunan syarikat pemula. Kebersamaan dan nilai serumpun antara kedua negara perlu menjadi kekuatan dan saling melengkapi.
  • Potensi Pasaran dan Infrastruktur: Indonesia mempunyai pasaran yang besar, manakala Malaysia mempunyai infrastruktur dan kekuatan dana yang kuat. Kolaborasi antara startup di kedua negara dapat memperkukuhkan ekosistem dan memperluaskan peluang.
  • Tantangan dan Pertumbuhan: Startup perlu bersedia untuk mengembangkan perniagaan (scale up). Ini melibatkan bukan hanya dana, tetapi juga latihan dan pemasaran. Pendidikan dan rekod pencapaian yang baik dalam pengurusan, kewangan, teknologi, dan pasaran penting untuk membentuk syarikat pemula yang mampan dan berpotensi menjadi unicorn atau decacorn.


Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno berkata kebersamaan dan nilai serumpun yang dimiliki perlu menjadi kekuatan dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Di Indonesia, lebih dari 3,000 startup yang aktif di dalam ekosistem dan kita lihat bahawa banyak sebenarnya peluang kerana kita adalah serumpun dan perlu dikembangkan.

“Indonesia mempunyai pasaran yang besar, Malaysia pula mempunyai infrastruktur dan kekuatan dana yang kuat.

“Ini perlu untuk kita saling berkolaborasi supaya startup di Indonesia dan Malaysia boleh lebih erat untuk bekerjasama,” katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Sandiaga akui pelbagai cabaran didepani syarikat pemula, tidak hanya berkait soal dana semata-mata.

“Dengan ekosistem yang wujud, sesuatu startup itu harus bersedia untuk mengembangkan perniagaan (scale up) mungkin lebih mudah untuk memulakan perniagaan, tetapi lebih sukar untuk scale up.

Scale up ini bukan hanya memerlukan dana, tetapi juga latihan dan pemasaran.  

“Bagaimana kita (Malaysia-Indonesia) boleh mendidik startup ini untuk memiliki pasukan yang kuat, rekod pencapaian yang baik  bermula dari kemampuan pengurusan, kewangan, teknologi dan pasaran.

“Ini penting dilaksana sehingga mereka (syarikat pemula) boleh membentuk sebuah perniagaan yang mampan dan tidak terhenti di peringkat awal (seed) atau siri A, B tetapi boleh menjadi unicorn malah, menjadi decacorn,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI selepas menjadi salah seorang panel pada perbincangan seiring Mesyuarat Tahunan Jaguh Baharu (AMNC) Ke-15, Forum Ekonomi Dunia (WEF) Musim Panas di sini hari ini.

Sesi bertajuk Unlocking Asean’s Digital Prosperity itu dihoskan secara bersama oleh WEF dan Astro AWANI, di mana Ketua Pengarang Astro AWANI, Ashwad Ismail sebagai peneraju perbincangan satu jam itu.