Ringkasan AI
- Perdana Menteri China, Li Qiang, menegaskan komitmennya terhadap konsep pasaran terbuka dan teknologi hijau untuk menstabilkan pertumbuhan global. China mendorong pertukaran idea antara syarikat multinasional dan domestik serta bersaing secara adil untuk memajukan industri yang sedang berkembang.
- Beliau mengkritik ketegangan perdagangan serta tindakan memisahkan hubungan dengan China. Li Qiang yakin dengan pemulihan ekonomi China pasca-COVID-19, menegaskan keteguhan negaranya dalam menghadapi cabaran tersebut.
- China menegaskan pendekatannya terhadap peralihan hijau tanpa mengorbankan pertumbuhan jangka pendek atau menggunakan perlindungan alam sekitar sebagai alasan. Beliau menyeru untuk kerjasama antarabangsa, menolak konfrontasi dan mempromosikan liberalisasi perdagangan serta pelaburan untuk mengekalkan stabiliti dan kelancaran dalam rantaian perindustrian.
Mesej tegas itu disampaikan beliau ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Tahunan Juara Baharu (AMNC) Ke-15, Forum Ekonomi Dunia (WEF) Musim Panas di sini hari ini.
“Pasaran China adalah terbuka dan besar. Syarikat multinasional dan domestik saling bertukar idea dan bersaing secara saksama.
“Ini penting dalam mendorong industri yang sedang berkembang untuk terus maju dan membesar dari peringkat bawah,” katanya.
Beliau pada masa sama mengkritik ketegangan perdagangan dan tindakan memisahkan hubungan dengan China tatkala beliau berusaha meyakinkan peserta bahawa pemulihan ekonomi China pasca-COVID-19 adalah teguh.
Komen beliau dibuat ketika China menghadapi penolakan daripada beberapa negara berhubung eksport kenderaan elektrik (EV) yang murah, di mana sesetengah kerajaan bimbang tindakan itu akan mendominasi pasaran sekali gus menjejaskan pengeluar domestik.
Kesatuan Eropah (EU), Turkiye dan Kanada merupakan antara negara yang sedang mempertimbangkan cukai tambahan ke atas EV China.
Pada hujung minggu lalu, China dan EU berkata bahawa mereka terbuka untuk berbincang mengenai tarif yang akan dikenakan selepas Beijing mengumumkan siasatan antilambakan ke atas daging babi Eropah, yang sebahagian besarnya dilihat sebagai tindak balas terhadap EV.
"Kami tidak boleh memperlahankan langkah kami dalam peralihan hijau sebagai pertukaran untuk pertumbuhan jangka pendek atau mengamalkan perlindungan atas nama pembangunan hijau atau perlindungan alam sekitar.
“Kita harus berfikiran terbuka, bekerjasama rapat, menolak konfrontasi blok, menentang penyahgandingan dan pemutusan hubungan, mengekalkan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan, selain menggalakkan liberalisasi dan kemudahan perdagangan serta pelaburan,” tambahnya.
Beliau turut melahirkan keyakinan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tahunan negara sekitar lima peratus tahun ini di sebalik beberapa cabaran ketika ini.
Mengikut rekod, ekonomi China tumbuh 5.3 peratus pada suku pertama tahun ini, dan dijangka akan mengekalkan momentum itu untuk baki tiga sukuan akan datang.