Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata sumbangan van bernilai RM180,000 itu diharap dapat meringankan beban kewangan ahli keluarga serta memudahkan proses pengurusan jenazah.
"Van kini dalam proses modifikasi untuk memasukkan keranda dan sebagainya, dijangka dapat diserahkan sepenuhnya untuk kegunaan 1ThirdMedia Movement pada Mei.
"Ini satu usaha yang baik antara pihak NGO dan kerajaan melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang menasihati kami dalam proses ini," katanya kepada Bernama pada Majlis Makan Malam Sumbangan Van Jenazah di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, Pengasas 1ThirdMedia Movement Razuan Yazid berkata sumbangan itu dilihat mampu mengurangkan kos pengangkutan membawa balik jenazah dari Singapura ke Malaysia melalui jalan darat sehingga 75 peratus, daripada kira-kira RM10,000 kepada sekitar RM2,500.
Penggunaan van itu juga dilihat dapat menjimatkan masa dan mempermudah proses pengurusan jenazah yang selama ini banyak bergantung kepada servis yang dikendalikan syarikat di Singapura, katanya.
"Harapan kami, selepas ini dapat menjimatkan masa kerana jenazah akan dibawa balik terus ke kampung halaman mereka," katanya.
Beliau berkata berdasarkan perkongsian maklumat dalam kalangan NGO, secara purata terdapat empat hingga enam kematian setiap bulan melibatkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar, berkata pada masa ini, kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia telah menyediakan satu garis panduan di pintu masuk darat Malaysia untuk memudahkan proses bawa balik jenazah rakyat Malaysia.
"Menerusi SOP ini, pihak pengurusan jenazah boleh berhubung terus dengan pejabat operasi di Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar untuk menggunakan laluan khas bagi mempercepatkan urusan masuk ke Malaysia," katanya.
Beliau juga menasihati rakyat Malaysia, khususnya lebih 300,000 yang berulang-alik setiap hari untuk bekerja di Singapura, supaya mengamalkan etika pemanduan secara berhemah.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)