KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 rakyat Palestin sedang berlindung di 100 khemah di Kem Sumoud dekat Khan Younis, Gaza yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia (MCM).


Ringkasan AI
  • Kira-kira 1,000 rakyat Palestin berlindung di 100 khemah di Kem Sumoud, Gaza yang diurus oleh Muslim Care Malaysia (MCM).
  • MCM telah membelanjakan RM350,000 untuk memasang sistem elektrik solar dan membekalkan makanan setiap hari kepada penghuni kem.
  • MCM merancang untuk menambah bilangan khemah dan merayu rakyat Malaysia terus memberi sumbangan untuk membantu penduduk Gaza.


Presiden MCM Zulkifli Wahijan berkata kem itu dibuka lebih sebulan lalu iaitu sebaik saja wilayah Rafah di selatan Gaza diceroboh dan dikuasai tentera Zionis, Israel.

Beliau berkata kem Sumoud mempunyai 300 khemah, 100 daripadanya diurus oleh MCM manakala bakinya diselia sebuah NGO antarabangsa, Emaar Foundation.

"Alhamdulillah sejumlah RM350,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia telah MCM belanjakan untuk pelbagai keperluan hampir 1,000 penghuni di kem Sumoud.

"Antara sumbangan MCM di kem itu ialah memasang sistem elektrik solar dan membekalkan makanan kepada penghuni kem setiap hari," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Menurut Zulkifli, sejak perang bermula 7 Okt tahun lalu, MCM sudah menyalurkan kira-kira RM5 juta kepada penduduk Gaza melalui wakil mereka di sana iaitu Ahmad Abu Ayesh yang juga Pengerusi MCM Palestin.

"Kem Sumoud adalah satu daripada tiga kem besar yang menempatkan ribuan khemah penduduk Gaza yang kini menjadi pelarian di dalam negara sendiri.

"Ahmed Abu Ayesh dan pasukannya telah memasang lapan panel solar tenaga untuk bekalan elektrik kepada penghuni kem Sumoud.

"Selain itu, mereka turut memasak dan mengagihkan makanan, air minuman dan air bersih kepada penghuni di 100 khemah di situ setiap hari," kata Zulkifli.

Menurut Zulkifli, pihaknya dalam perancangan untuk menambah bilangan khemah pada masa hadapan.

"100 khemah itu adalah peringkat pertama insya-Allah kami akan memasang dan menguruskan 100 hingga 200 khemah lagi dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata biarpun banyak NGO dari seluruh dunia menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada penduduk Gaza, ia masih tidak mencukupi dan belum mampu melengkapkan keperluan asas mereka.

"Oleh itu MCM merayu seluruh rakyat Malaysia agar terus memberi sumbangan dan insya-Allah semua sumbangan itu mampu kami salurkan kepada penduduk Gaza kerana kami ada Abu Ayesh di sana," katanya.

-- BERNAMA