KAHERAH: Mesir pada Rabu menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil "tindakan segera dan tegas" bagi menghentikan serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza.

Agensi Anadolu melaporkan bahawa Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty membuat seruan itu dalam sidang media bersama di Kaherah dengan rakan sejawatannya dari Sepanyol, Jose Manuel Albares.

Abdelatty menekankan keperluan untuk tindakan pantas untuk menghentikan "bencana kemanusiaan dan perubatan" yang disebabkan oleh serangan tentera Israel.

Beliau berkata terdapat perbincangan berterusan dengan PBB untuk melaksanakan rancangan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza, walaupun beliau tidak memberikan butiran lanjut.

Menteri Mesir itu juga menekankan bahawa usaha Mesir untuk meredakan ketegangan di rantau berkenaan masih diteruskan, dengan merujuk kepada mesyuarat baru-baru ini yang dianjurkan oleh Kaherah antara delegasi dari kumpulan Fatah dan Hamas untuk membincangkan situasi terkini Palestin dan menyokong Pihak Berkuasa Palestin.

Abdelatty berkata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi akan melawat Kaherah pada Khamis sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik Mesir untuk meredakan ketegangan serantau.

Sementara itu, Albares menyeru gencatan senjata segera di Gaza dan Lubnan, menekankan bahawa keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan hanya boleh dicapai melalui penubuhan negara Palestin dan pelaksanaan penyelesaian dua negara.

Albares turut menegaskan bahawa Sepanyol tidak membenarkan sebarang penghantaran senjata kepada Israel, sama ada secara langsung atau melalui wilayahnya, sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023.

"Rantau ini memerlukan pengurangan ketegangan, bukan lebih banyak senjata," tambahnya.

Menteri Luar Sepanyol itu menyeru agar keganasan di Lubnan dihentikan dan pelaksanaan penuh Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang bertujuan untuk mengekalkan keamanan antara Israel dan Lubnan.

Israel telah melancarkan serangan kejam ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt tahun lalu, membunuh lebih 42,400 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 99,000 yang lain.

Konflik itu telah merebak ke Lubnan, dengan Israel melancarkan serangan ke seluruh negara itu yang mengorbankan lebih 1,500 orang dan mencederakan lebih 4,500 yang lain sejak 23 September.

-- BERNAMA