SEORANG lelaki menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah hotel ketika mengejar seekor anjing.

Insiden malang itu menimpa Uday Kumar, 22, yang menghadiri sambutan hari lahir rakannya di VV Pride Hotel di bandar Hyderabad pada awal minggu lalu.

Menurut polis, Kumar berada di lobi hotel berkenaan pada jam 12.30 tengah malam (waktu tempatan) apabila dia terjumpa seekor anjing dan mula bermain-main dengan haiwan itu.

"Dia terlalu seronok mengejar anjing itu hingga hilang kawalan sebelum terjatuh ke luar tingkap. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," ujar jurucakap polis.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Kumar dilihat tergelincir di birai jendela tersebut yang ketinggiannya hampir sama dengan paras pinggangnya.

Bedah siasat telah dilakukan ke atas mayatnya dan polis melancarkan siasatan terhadap kes kematian mencurigakan tersebut. - Sinar Harian/ Agensi