VIANTIANE: Malaysia sudah bersedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dan tuan rumah bagi Sidang Kemuncak ASEAN tahun hadapan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kepengerusian ASEAN di Malaysia akan berpandukan kepada tiga tonggak utama iaitu politik dan keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

“Persiapan Malaysia untuk mempengerusikan ASEAN pada 2025 dibuat dengan baik, kita ada tiga tonggak iaitu tonggak politik dan keselamatan dibawah Kementerian Luar Negeri bersama dengan kementerian yang lain.

“Tonggak komuniti ekonomi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan tonggak sosiobudaya di bawah Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC).

“Berbagai-bagai persiapan yang mesti kita lakukan, terdapat 300 lebih mesyuarat semuanya termasuklah sidang kemuncak sebanyak dua kali oleh ketua ketua negara dan juga berbagai-bagai mesyuarat peringkat menteri akan diadakan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kerajaan juga bersetuju untuk tidak memusatkan semua acara dan mesyuarat di Kuala Lumpur semata-mata.

Malah beberapa lokasi lain di seluruh negara telah dikenal pasti bagi menjayakan tujuan itu dan berharap agar negeri terpilih dapat membuat persiapan yang terbaik dalam usaha melonjakkan imej Malaysia.

“Kita telah memutuskan untuk tidak memusatkan semua mesyuarat di Kuala Lumpur kita telah melihat dan meninjau serta bersetuju untuk membawa mesyuarat-mesyuarat di peringkat menteri dan pegawai di merata negara di setiap negeri.

"Saya berharap supaya semua tempat-tempat yang telah dikenal pasti dan negeri-negeri yang telah kita kenalpasti, untuk melakukan persiapan yang terbaik untuk kita menyambut tetamu kerana ini akan melonjakkan imej negara," katanya lagi.

Selain itu, Mohamad berkata sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia akan memperkenalkan Konsep Komuniti ASEAN 2025-2045 bagi membolehkan negara-negara serantau meningkatkan kerjasama dalam pelbagai aspek.

Jelasnya, Konsep Komuniti ASEAN merupakan visi 20 tahun untuk komuniti negara-negara ASEAN dan proses menyiapkan Draf Konsep itu kini di peringkat akhir.

Manakala, beliau berkata mesyuarat pertama Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk sesi permukiman akan diadakan pada 18-19 Januari 2025 di Pulau Langkawi, Kedah.