Ringkasan AI
- Pelantikan Sonny Bill Williams: Sonny Bill Williams, pemenang Piala Dunia Ragbi dua kali bersama New Zealand, dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) untuk tempoh dua tahun bermula 1 November.
- Peranan dan Sumbangan: Sonny akan menyokong misi AIU untuk melahirkan siswazah yang seimbang dan berdaya saing di peringkat global, serta memperkukuh visi universiti untuk mewujudkan persekitaran pendidikan transformatif.
- Inspirasi kepada Mahasiswa: Kehadiran Sonny di AIU dijangka memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan peribadi dan kerjaya profesional mereka.
Pengumuman pelantikan bekas bintang All Blacks kelahiran Auckland itu dimuat naik di laman Facebook universiti berkenaan hari ini.
"Kami berbangga mengumumkan Sonny Bill Williams, seorang atlet bertaraf dunia yang terkenal dengan pencapaian luar biasa dalam sukan ragbi dan tinju, sebagai Pro-Canselor pertama kami.
"Majlis penyampaian watikah dijadualkan berlangsung di AIU pada 10 Dis," menurut kenyataan itu.
AIU menekankan pencapaian Sonny, seorang ikon sukan global dan pendukung keadilan sosial yang telah membina kerjaya luar biasa dan reputasi cemerlang di peringkat antarabangsa, dan perjalanan kariernya dalam sukan pula sangat mengagumkan.
Sonny yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gunaan (Pengurusan Sukan) dengan Kepujian dari Otago Polytechnic, New Zealand, bukan sahaja terkenal memiliki kerjaya sukan yang cemerlang tetapi juga dedikasinya terhadap usaha kemanusiaan, integrasi budaya dan pemerkasaan belia.
"Sebagai Pro-Canselor, beliau akan memainkan peranan penting dalam menyokong misi AIU untuk melahirkan siswazah yang seimbang, berdaya saing di peringkat global dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.
"Penglibatannya akan memperkukuh visi universiti untuk mewujudkan persekitaran pendidikan transformatif dengan kepimpinan berasaskan nilai bertemu kecemerlangan akademik," menurut kenyataan itu.
Kehadiran Sonny Bill Williams di AIU dijangka memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk mencapai kecemerlangan secara peribadi dan kerjaya profesional mereka kelak.
-- BERNAMA