KUALA LUMPUR: Malaysia merupakan negara yang menyatakan sokongan kepada Timor Leste untuk menyertai blok ASEAN.


Ringkasan AI
  • Malaysia merupakan negara yang menyatakan sokongan kepada Timor Leste untuk menyertai blok ASEAN.
  • Perkara itu dikongsi Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao yang turut berkata banyak perkara yang perlu dicapai oleh Dili dalam usaha menyertai blok tersebut.
  • Terdahulu pada Oktober, Astro AWANI melaporkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha menjadikan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang ke-11 sedang dilaksana dan dipercepatkan.


Perkara itu dikongsi Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao yang turut berkata banyak perkara yang perlu dicapai oleh Dili dalam usaha menyertai blok tersebut.

‘’(Malaysia) sangat menyokong dan kerajaan banyak membantu kami.

‘’Sebab itu jugalah Perdana Menteri Malaysia menjemput saya ke Malaysia adalah untuk mengukuhkan sokongannya kepada penyertaan kami dalam ASEAN.

‘’Dia juga (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata akan terus menyokong dan melakukan yang terbaik dalam merealisasikan usaha ini,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika temu bual eksklusif bersama Astro AWANI sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke Malaysia.

Terdahulu pada Oktober, Astro AWANI melaporkan bahawa Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha menjadikan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang ke-11 sedang dilaksana dan dipercepatkan.

Menurutnya, Timor Leste telah menjadi sebahagian negara pemerhati sejak beberapa tahun lalu dan antara usaha yang sedang dikaji ketika ini adalah mengurangkan proses dokumentasi yang kebanyakan melibatkan kluster ekonomi.

Malah Mohamad berkata, Malaysia telah meminta tunggak ekonomi untuk melihat dan mengkaji jika boleh memendekkan senarai keperluan dokumentasi bagi keanggotaan penuh Timor Leste, sekali gus memperkasakan lagi ASEAN sebagai satu blok negara di rantau Asia Tenggara.

Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor Leste menyertai blok ASEAN dibarisi 10 negara anggota.

Negara itu diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.