Ringkasan AI
- Usaha membangunkan sebuah negara baharu seperti Timor Leste memerlukan visi yang jelas dari kepimpinannya.
- Menurut Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao, visi yang jelas bagaimanapun tidak akan dapat diterjemahkan dalam tempoh singkat.
- Ini kerana ujarnya, ia memerlukan proses yang terangkum dan kerjasama yang menyeluruh dalam kalangan pemimpin yang sama-sama dipilih menguruskan negara.
Menurut Perdana Menteri Timor Leste, Xanana Gusmao, visi yang jelas bagaimanapun tidak akan dapat diterjemahkan dalam tempoh singkat.
Ini kerana ujarnya, ia memerlukan proses yang terangkum dan kerjasama yang menyeluruh dalam kalangan pemimpin yang sama-sama dipilih menguruskan negara.
‘’Apabila anda mempunyai visi dan ia akan lebih mudah direalisasikan sekiranya anda berada dalam kerajaan namun kita semua tahu ia tidak mudah.
‘’Ia tidak akan berlaku serta merta namun ia hanya akan berlaku menerusi proses yang baik dengan menjaga kebajikan dan pembangunan masyarakat dan dengan ini kita boleh mengurangkan ketidakadilan.
‘’Perkara ini juga saya tekankan kepada barisan kepimpinan saya, apabila anda mempunyai kuasa janganlah semata-mata berniat memperoleh wang yang banyak namun anda perlu mempunyai visi dan program yang baik dan mengurangkan semua ketidakadilan yang berlaku,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika temu bual eksklusif bersama Astro AWANI sempena lawatan rasminya selama tiga hari ke Malaysia.
Selain itu ujarnya, pemimpin yang dipilih juga seharusnya mempunyai matlamat yang jelas untuk berkhidmat kepada rakyat.
Seterusnya membawa agenda keamanan dan berusaha dalam agenda pembangunan negara.
‘’Saya tidak berkata saya memiliki visi yang jauh lebih baik daripada orang lain namun dengan semangat juang penduduk Timor Leste.
‘’Ditambah dengan penderitaan dan kesengsaraan dihadapi bagi sebuah kemerdekaan dan 250,000 terkorban dalam usaha ini dan pastinya mereka semua memiliki impian.
‘’Justeru untuk sebuah negara yang baharu seperti Timor Leste, semua kepimpinan daripada parti politik perlu memiliki persepsi sama iaitu bila memiliki kuasa, ia bukan kerana wang dan kedudukan semata-mata.
‘’Kita perlu memberi khidmat terbaik kepada rakyat dan membina negara ini kearah pembangunan,’’ tambahnya lagi.
Timor Leste merupakan sebuah negara yang terletak di pulau timor di Asia Tenggara.
Pada 20 Mei 2002, Timor Leste secara rasmi diiktiraf sebagai negara merdeka dan menjadi negara yang pertama di abad ke-21 untuk memperoleh kemerdekaan.
Susulan itu, Jose Ramos-Horta, yang merupakan seorang aktivis kemerdekaan yang terkenal telah diangkat menjadi Presiden Timor Leste.