Ringkasan AI
- Usaha Menjadi Anggota Penuh ASEAN: Timor Leste sedang dalam proses dipercepatkan untuk menjadi anggota penuh ASEAN yang ke-11, setelah menjadi negara pemerhati selama beberapa tahun.
- Pengurangan Dokumentasi: Malaysia mencadangkan pengurangan proses dokumentasi, terutama yang melibatkan kluster ekonomi, untuk memudahkan keanggotaan penuh Timor Leste.
- Sokongan Malaysia: Malaysia menyokong kelonggaran syarat keanggotaan untuk Timor Leste demi memperkasakan ASEAN sebagai blok negara di Asia Tenggara.
Menurut beliau, Timor Leste telah menjadi sebahagian negara pemerhati sejak beberapa tahun lalu dan antara usaha yang sedang dikaji ketika ini adalah mengurangkan proses dokumentasi yang kebanyakan melibatkan kluster ekonomi.
Jelas beliau, Malaysia telah meminta tunggak ekonomi untuk melihat dan mengkaji jika boleh memendekkan senarai keperluan dokumentasi bagi keanggotaan penuh Timor Leste, sekali gus memperkasakan lagi ASEAN sebagai satu blok negara di rantau Asia Tenggara.
"... kerana bagi saya, ada juga ahli ASEAN sedia ada belum lagi mencapai sepenuhnya syarat tersebut. Kenapa tidak kita bagi kelonggaran kepada Timor Leste untuk mereka menjadi ahli penuh demi kebaikan ASEAN," katanya dalam sidang media di Kementerian Luar di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo dan tema rasmi Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Ditanya mengenai konsensus melibatkan negara-negara anggota, Mohamad berkata perkara itu belum diletakkan sebagai agenda dalam mesyuarat ASEAN tetapi sedang berjalan di peringkat kerja.
"Tetapi Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN memberi maklum balas bahawa ini yang perlu dilakukan oleh Timor Leste kerana itu, kita dalam kalangan pemimpin telah pun memberi pandangan.
"Seperti saya kata tadi, kluster ekonomi banyak... Ada 86 dokumen, dengan lebih 60 adalah ekonomi. Kenapa tidak pemimpin kluster ekonomi di peringkat kerja melihat (cadangan) untuk mengurangkan sedikit (dokumentasi). Selepas itu kita bagilah masa dalam tempoh lima atau 10 tahun untuk Timor Leste menyusun semuanya," ujar beliau lagi.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor Leste menyertai blok ASEAN dibarisi 10 negara anggota.
Negara itu diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.