BANGKOK: Majoriti senator dilaporkan masih belum membuat keputusan sama ada mereka akan menyokong Pita Limjaroenrat, pemimpin Parti Move Forward (MFP) sebagai Perdana Menteri.

Senator Wanchai Sornsiri memaklumkan bahawa senator melakukan perbincangan mengenai isu ini pada Jumaat, tetapi pendapat mereka tidak membayangkan pendirian akhir atau menunjukkan bagaimana mereka akan mengundi.

Menerusi perbincangan, senator mempunyai tiga pilihan iaitu mengundi Pita, tidak mengundi untuknya atau mengekalkan sikap neutral. Tetapi sukar diputuskan oleh majoriti dan beberapa di antaranya dijangka tidak akan membuat keputusan sehingga hari mengundi.

Tambah Wanchai, beliau tetap berpegang pada pendirian bahawa akan mengundi calon perdana menteri yang dinamakan oleh gabungan yang berjaya mendapatkan lebih daripada 250 kerusi Dewan Rakyat.

Kumpulan yang dipimpin oleh MFP, dengan lapan parti politik dan 313 kerusi Dewan Rakyat, memerlukan sekurang-kurangnya 376 undi dalam parlimen yang mempunyai 750 kerusi, yang terdiri daripada 500 orang Ahli Parlimen dan 250 orang senator untuk menjadikan Pita sebagai Perdana Menteri.

Senator Kittisak Rattanawaraha mengesahkan bahawa beliau tidak akan mengundi Pita kerana tidak bersetuju dengan dasar yang sangat kontroversi MFP untuk meminda Seksyen 112 Kanun Keseksaan atau Undang-undang lese-majeste Thailand.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Wissanu Krea-ngam berkata tempoh lima tahun bagi Dewan Negara semasa akan tamat pada 11 Mei tahun depan yang mana senator tidak boleh lagi mengambil bahagian dalam undian untuk perdana menteri. Bagaimanapun, mereka akan terus berperanan atas kapasiti penjaga.