PUSAT Kawalan Penyakit Kesatuan Afrika (Afrika CDC) memaklumkan, lebih 800 orang di seluruh Afrika dilaporkan maut akibat wabak mpox.

Menurutnya, sebanyak 34,297 kes direkodkan di seluruh benua itu sejak Januari lalu, termasuk 38 kes di Ghana.

Angka berkenaan menjadikan jumlah negara Afrika yang secara rasmi merekodkan kes mpox tahun ini kepada 16.

Ketua Africa CDC, Jean Kaseya dalam satu sidang media berkata, wabak mpox ini masih belum terkawal di mana jumlah kematian sejak awal tahun ini mencecah 866 orang.

Beliau turut memberi amaran kadar ujian masih terlalu rendah, dengan kira-kira 2,500 kes baharu dikesan dalam tempoh seminggu lalu.

Kaseya berkata, Republik Demokratik Congo (DRC), yang merupakan pusat utama wabak ini, dijangka memulakan program vaksinasi dalam tempoh dua hari lagi.

Mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, disebabkan oleh virus yang boleh menular kepada manusia melalui haiwan yang dijangkiti.

Virus ini juga boleh disebarkan antara manusia melalui sentuhan fizikal rapat.

Gejala mpox termasuk demam, sakit otot, lesi kulit menyerupai bisul besar dan boleh membawa maut.

Pihak Afrika CDC juga menggesa semua pihak agar meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk membendung penyebaran wabak ini.