Lebih 100 orang cedera dalam insiden tersebut akibat seorang pengebom bunuh diri.
Menurut agensi berita Reuters, ini merupakan serangan paling serius di negara itu semasa rakyat bersiap-sedia hadapi pilihan raya yang dijadualkan pada Oktober nanti.
Kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut yang dilihat cubaan untuk menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan presiden negara itu, Ashraf Ghani.
Beliau turut didesak untuk mengadakan pilihan raya pada tahun ini yang telah sekian lama ditunda.
Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danesh, pengebom bunuh diri tersebut dilihat berjalan kaki ke arah pusat pendaftaran pengundian semasa pegawai pilihan raya sedang mengedarkan kad pengenalan diri kepada pengundi.
Ini merupakan sebahagian daripada proses pendaftaran bagi 10 juta pengundi di seluruh Afghanistan yang bermula pada bulan ini.
Kawasan pusat pendaftaran pengundi tersebut dikawal ketat susulan kejadian itu pada Ahad. - Reuters
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Presiden Ashraf Ghani mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan berkata "tindakan itu tidak akan mengalihkan tujuan kami atau melemahkan proses demokrasi kebangsaan".
Jurucakap Kementerian Kesihatan berkata, sekurang-kurangnya 57 terkorban, termasuk lapan kanak-kanak, manakala 119 orang cedera dalam insiden terbabit.
Namun angka korban mungkin akan meningkat dalam hari yang akan datang.
BACA: Lebih 30 maut pusat pendaftaran pengundi diserang pengebom bunuh diri
Letupan tersebut turut memusnahkan beberapa kenderaan dan memecahkan tingkap di bangunan berdekatan.
Ini serangan terburuk di Kabul sejak 100 orang maut pada Januari lepas akibat letupan bom yang disembunyikan di dalam sebuah ambulans.
Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lebih 750 orang terkorban atau cedera parah akibat pengebom bunuh diri dan letupan oleh kumpulan pengganas dalam tiga bulan pertama tahun ini.