Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Syed Ahmad Israa' Syed Ibrahim berkata, ini kerana hasratnya mahu menghapuskan Hamas dan mengambil alih Gaza masih jauh dari jangkauan, dan tindakan menyerang Lubnan adalah bersifat taktikal bagi menunjukkan objektifnya masih kukuh.
“Mengalih peperangan dari Gaza, walaupun masih berlanjutan tetapi keutamaan di utara Palestin ke arah Lubnan adalah sebahagian daripada taktik Netanyahu.
“Ini selari juga dengan blueprint Israel untuk jangka masa panjang untuk ambil alih bukan saja Gaza tetapi juga wilayah lebih besar termasuk Lubnan dan sebahagian besar Syria dan Iraq,” katanya.
Pendapat itu dipersetujui Penganalisis MyCare, Megat Aiman Hakim Megat Shariffudin, yang melihat Netanyahu kini sudah menekan butang panik kerana setahun perang di Gaza belum menampakkan tanda-tanda matlamatnya bakal tercapai.
“Gaza masih belum dikalahkan, kisahnya belum tamat jadi tindakan Netanyahu membuka lebih banyak lagi ruang peperangan sama ada dengan Lubnan, Yaman, Iran dan Syria menunjukkan mereka tak ada strategi jangka panjang dan tak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Tambahnya lagi, serangan Iran ke atas Israel sekurang-kurangnya berjaya memberi amaran kepada Netanyahu bahawa dia tidak boleh bertindak sesuka hati.
Katanya, jika negara-negara seperti Lubnan, Syria dan Iran bekerjasama melancarkan serangan, ia mampu melumpuhkan Tel Aviv.
“Dilaporkan 30 peratus peluru berpandu Iran berjaya untuk mencapai sasaran, bayangkan jika Iran bersama Yaman, Syria, Iraq dan Gaza melepaskan roket.
“Tel Aviv boleh lumpuh kerana sistem pertahanan udara, mereka semahal mana pun tak mampu menangkis serangan yang dilepaskan secara bertubi-tubi,” tambahnya.
Mereka berkata demikian ketika muncul dalam program Agenda AWANI, pada Rabu.
Sementara itu Ketua Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hanifah Haris berkata, membawa negara sekitar untuk terbabit dalam perang bukanlah taktik baharu Israel.
Ia merupakan strategi penting kerana mereka mahu menampakkan seolah-olah konflik yang tercetus di Asia Barat itu bukan berpunca daripada mereka.
“Kita jangan lupa kuasa besar di belakang mereka ialah Amerika Syarikat. Jelas Presiden Joe Biden mengatakan dia bersedia bahkan dalam serangan yang dilakukan Iran ini, Amerika turut membantu menumpaskan peluru berpandu yang dilancarkan Iran,” katanya.
Iran sudah berkali-kali menegaskan tidak mahu berperang dan mahu memastikan kedaulatan mereka tidak digugat, namun ia tidak diendahkan Israel.
Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Iran bertindak balas secara defensif dan ofensif dalam masa yang sama, bagi memberi amaran bahawa mereka mempunyai had dalam bertoleransi dengan Israel.
“Iran sangat mengambil kira, apa yang mahu dilakukan Israel dia mahu melakukan apa yang dipanggil regenalisasi perang dengan mengheret pihak lain bersama Israel.
“Kalau tak dibantu pihak lain, Israel juga tak boleh bertahan. Mereka lancar perang baharu dengan Hezbollah, dan sekarang berhadapan kemungkinan tindak balas dari Syria, ertinya mereka tak boleh bertahan kecuali jika heret kuasa lain bersama,” katanya.