GAZA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata Israel menawarkan ganjaran sebanyak AS$5 juta (RM23.5 juta) bagi setiap tebusan yang berjaya dikembalikan.

Katanya, mana-mana individu yang menyerahkan tebusan kepada pihak Israel juga akan diberikan laluan selamat untuk keluar, termasuk bersama keluarga mereka.

Netanyahu membuat kenyataan tersebut semasa lawatan ke Gaza pada Selasa bersama Menteri Pertahanan, Yoav Gallant dan ketua tentera Israel, Jeneral Herzi Halevi.

Beliau turut diberi taklimat mengenai operasi ketenteraan di kawasan itu.

"Saya berada di pantai Gaza bersama Menteri Pertahanan, Ketua Staf, Ketua Shin Bet, serta komander dan tentera kita yang gagah berani, yang melaksanakan tugas dengan cemerlang di sini.

"Di tengah-tengah kawasan Gaza dan di seluruh wilayah ini, mereka telah mencapai kejayaan yang luar biasa dalam matlamat penting kita iaitu Hamas tidak akan memerintah Gaza.

"Kami juga sedang menggiatkan usaha dari tempat ini dan dari mana-mana sahaja untuk mengesan tebusan kami dan membawa mereka pulang. Kami tidak akan berputus asa dalam hal ini.

"Kami akan terus berusaha sehingga kami mendapatkan mereka semua sama ada yang masih hidup atau yang telah tiada," katanya.

Katanya, meskipun pilihan di tangan mereka, namun hasilnya akan tetap sama iaitu tentera rejim akan tetap membawa pulang semua tebusan.