Media tempatan melaporkan, hospital itu menerusi satu kenyataan menggambarkan keadaan kritikal itu dijangka mengancam nyawa lebih satu juta penduduk di Gaza Tengah yang berada dalam situasi berbahaya akibat serangan rejim Zionis.
Dalam tempoh setahun yang lalu, hospital itu beroperasi secara berterusan menggunakan generator tanpa henti meskipun bergelut dengan peperangan yang berterusan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan pelbagai organisasi antarabangsa lain turut digesa bertindak segera bagi menangani keadaan yang semakin meruncing di hospital tersebut.
Kenyataan itu juga berkata, sekiranya situasi itu tidak dibendung, ia berpotensi mencetuskan bencana kemanusiaan yang lebih mendalam bagi penduduk di Gaza.
Dalam perkembangan terbaharu konflik, 41,391 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dalam serangan berterusan Israel ke atas wilayah itu.
Serangan berterusan rejim itu menyebabkan majoriti penduduk Gaza terpaksa berpindah di tengah-tengah sekatan berterusan yang mengakibatkan kekurangan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.