Selatan Thailand khususnya Wilayah Songkhla boleh menjadi rakan strategik pembangunan Perlis selain mewujudkan kerjasama dua hala untuk melonjakkan ekonomi masing-masing.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah antara bidang yang boleh diteroka untuk kerjasama itu ialah pengeluaran bahan mentah dan industri halal.

"Kedua-dua bidang ini sangat berpotensi berkembang menjadi lebih besar yang secara tidak langsung akan menarik banyak syarikat kedua-dua pihak untuk bekerjasama," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian pada akhir program 'Kayuhan Basikal Salam Sawasdee Perlis-Sadao Songkhla Thailand 2017' sejauh 28 kilometer, bermula di Masjid Padang Besar Utara dan berakhir di Pejabat Datuk Bandar Sadao, pada Ahad.

Berangkat sama pada program itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerjasama Sempadan negeri, Ahmad Bakri Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Ahmad Zamri Khairuddin adalah antara lebih 700 peserta yang menyerti program itu.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah Thailand juga boleh berkongsi kepakarannya dalam sektor pertanian selain berkongsi teknologi dalam sektor perikanan yang akan mewujudkan lebih banyak nilai tambah dan peluang pekerjaan.

"Sebagai rakan strategik, banyak perkara lain menguntungkan kedua-dua pihak boleh diperhebatkan antaranya promosi memajukan lagi industri pelancongan dan perdagangan antara rakyat," titah baginda.

Baginda bertitah kedua-dua pihak akan lebih mudah mengadakan program pertukaran pelajar, menganjurkan seminar antarabangsa dan pembangunan pendidikan di samping mengeratkan kerjasama membanteras penyeludupan di sempadan.

Sempena program itu, baginda berdua turut berkenan melawat projek OTOP (Satu Kampung Satu Produk) dan menyaksikan program latihan bola sepak bersama antara Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan, Kangar dan pasukan pilihan sekolah-sekolah Sadao di Kompleks Sukan Daerah Sadao.

-- BERNAMA