Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata ia berikutan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 mendapati rakyat Malaysia menghadapi krisis kesihatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dengan lonjakan individu yang berlebihan berat badan dan obes.
"Salah satu kebimbangan utama ialah kesan produk makanan dan minuman ultra proses (UPF) terhadap penambahan berat badan dan risiko beberapa NCD seperti diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan kanser.
"Banyak makanan ultra proses yang tinggi dengan tenaga, gula tambahan, natrium, dan lemak tidak sihat namun rendah kandungan serat, protein serta mikronutrien, malah sejak beberapa dekad lepas, terdapat peralihan ketara daripada mengambil makanan lengkap atau diproses secara minimum kepada UPF," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata peralihan itu didorong oleh perubahan dalam sistem pembuatan dan pengedaran makanan, peningkatan pemasaran UPF, perubahan gaya hidup membawa kepada permintaan lebih tinggi bagi makanan mudah dan faktor ekonomi yang menjadikan harga UPF lebih berpatutan serta mudah diakses.
Mohideen berkata analisis penilaian sejawat baharu oleh Imperial College Business School mendedahkan pelaksanaan cukai ke atas makanan yang tinggi kandungan lemak, garam atau gula (HFSS) termasuk UPF boleh mengurangkan penjualan, pembelian dan pengambilan makanan itu.
Sehingga kini, beliau berkata 16 negara telah melaksanakan cukai itu dan di Mexico, cukai lapan peratus ke atas makanan yang tidak penting dan padat tenaga termasuk gula-gula, coklat, bijirin bergula, kerepek dan snek masin telah menghasilkan pengurangan sebanyak 18 peratus dalam jualan di pasar raya sekali gus pengurangan sehingga 40 peratus pada peruncit lain.
"Berdasarkan senario itu, CAP menggesa kerajaan supaya melaksanakan cukai ke atas semua jenis makanan tidak sihat dan membangunkan rancangan jangka panjang dengan insentif serta mencadangkan agar inisiatif dasar makanan seperti melanjutkan cukai gula untuk memasukkan semua makanan tinggi gula, selain minuman manis dan minuman pracampuran," katanya.
Beliau berkata selain itu, perkenalkan cukai ke atas makanan ultra proses seperti mi segera, makanan ringan dan produk daging yang diproses serta membangunkan dan menguatkuasakan peraturan lebih ketat mengenai pelabelan makanan untuk memastikan pengguna dapat mengenal pasti kandungan pemakanan produk mereka beli dengan mudah.
Mohideen juga mencadangkan kerajaan menyediakan subsidi bagi makanan sihat, segar atau diproses secara minimum untuk isi rumah berpendapatan rendah dan menjalankan kempen pendidikan serta kesedaran dengan memaklumkan pengguna mengenai bahaya pengambilan makanan ultra proses yang tinggi dan menggalakkan tabiat pemakanan sihat.
-- BERNAMA