ISTANBUL: Kebakaran hutan yang meletus di bandar pelabuhan Izmir di barat Turkiye telah sampai ke kawasan perumahan, mendorong ratusan penduduk berpindah, lapor Xinhua pada Sabtu, memetik media tempatan.

Kebakaran yang bermula di daerah Karsiyaka memasuki hari ketiga dan merebak ke kawasan kejiranan perumahan dan tapak perindustrian pada awal pagi, menyebabkan pemindahan tiga kawasan kejiranan, kata penyiar NTV.

Akhbar harian Hurriyet melaporkan jumlah penduduk yang dipindahkan mencecah 900. Memetik data Kementerian Kesihatan, NTV berkata tiada korban jiwa yang dilaporkan. Pasukan pemadam kebakaran memperhebatkan usaha mereka pada waktu subuh.

"Seluruh bandar diselubungi asap tebal," kata Yasemin Yavuz, seorang guru berusia 47 tahun yang tinggal di daerah Karsiyaka, kepada Xinhua melalui telefon.

"Abu turun dari langit dan memenuhi rumah kami," katanya.

"Kami ketakutan dan menjelang lewat petang, menyedari bahawa kami tidak mempunyai pilihan selain menyelamatkan diri. Kami segera mengemas apa yang kami boleh dan bergegas ke rumah saudara-mara kami di bandar berdekatan."

Mehmet Ozicel, seorang pemilik perniagaan, memberitahu Xinhua bahawa keluarganya yang terdiri daripada tiga orang tinggal di rumah sehingga lewat Jumaat, menutup semua tingkap untuk mengelakkan asap masuk. Mereka akhirnya meninggalkan rumah dalam ketakutan selepas tengah malam.

Selain itu, siaran media sosial melaporkan bahawa kebakaran telah sampai ke kandang haiwan, menggesa penduduk bandar untuk membantu menyelamatkan haiwan itu. Gambar yang dikongsi dalam talian menunjukkan pegawai dan sukarelawan membawa anjing dalam pelukan mereka ke zon yang lebih selamat.

Menteri Pertanian dan Perhutanan Ibrahim Yumakli memberi amaran kepada rakyat bahawa kelembapan yang sangat rendah, angin yang sangat kencang dan suhu tinggi dijangka sepanjang minggu akan datang.

Beliau menasihatkan jika boleh, jangan menyalakan api di luar kawasan tertutup.

Yumakli juga memaklumkan kepada pemberita di tempat kejadian pada pagi Sabtu bahawa terdapat 72 kebakaran di seluruh negara, dengan 45 terkawal dan usaha sedang dijalankan untuk menangani 27 lagi kebakaran.

-- BERNAMA