Perdana Menteri Justin Trudeau berkata, ia akan terus berunding dengan pegawai kanan pentadbiran Donald Trump berkenaan tarif yang dikenakan Washington terhadap import dari Kanada.
Beliau berkata demikian sehari selepas panggilan telefon yang tegang dengan Trump.
Beliau menegaskan bahawa matlamat utama adalah untuk membatalkan langkah tersebut.
Menurut Trudeau, Kanada akan kekal dalam perang perdagangan yang dimulakan oleh AS, dan pihaknya akan terus berusaha untuk mengurangkan kesan tarif terhadap sektor tertentu dalam jangka pendek.
Sebagai tindak balas, Kanada telah mengenakan tarif 25 peratus ke atas import as bernilai 30 bilion dollar Kanada.
Trudeau menegaskan bahawa langkah ini akan berterusan sehingga pentadbiran Trump menamatkan tindakan perdagangan mereka.
Dalam panggilan telefon selama 50 minit pada Rabu, Trump menuduh Kanada gagal menghalang aliran dadah berbahaya, Fentanyl dan migran haram merentasi sempadan.
Trudeau menyifatkan perbualan itu sebagai perbincangan yang tegang tetapi penuh dengan isu substantif.
Antara topik perbincangan ialah kemungkinan Kanada menangguhkan pusingan kedua tarif 25 peratus ke atas import AS bernilai 125 bilion dollar Kanada yang dijadualkan berkuat kuasa dalam tempoh kurang daripada tiga minggu.
White House mengumumkan bahawa Trump akan mengecualikan syarikat automotif dari tarif terhadap Kanada dan Mexico selama sebulan, dengan syarat mereka mematuhi peraturan perdagangan bebas sedia ada.
Trudeau menganggap sebarang pengecualian yang menguntungkan pekerja Kanada, walaupun dalam sektor tertentu, tetap positif.
Sepanjang pentadbirannya, hubungan Trudeau dengan Trump sering tegang, dan beliau pernah menyindir presiden itu, yang terkenal sebagai usahawan hartanah.
