Dalam surat peletakan jawatan itu, Freeland mengkritik desakan Trudeau untuk meningkatkan perbelanjaan sebagai taktik politik yang boleh merosakkan kemampuan Ottawa untuk menangani tarif import 25 peratus yang dikatakan bakal dikenakan oleh Presiden AS terpilih, Donald Trump.
Peletakan jawatan Freeland, 56, yang juga memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, merupakan antara krisis terbesar yang dihadapi Trudeau sejak mengambil alih kuasa pada November 2015.
Tindakan diambil Freeland juga meninggalkan Trudeau tanpa sekutu utama ketika beliau berada di landasan untuk kalah dalam pilihan raya akan datang kepada Parti Konservatif, iaitu pakatan pembangkang rasmi.
Susulan peletakan jawatan Freeland juga, Trudeau melantik Menteri Keselamatan Awam, Dominic LeBlanc sebagai Menteri Kewangan.
Freeland meletakkan jawatan hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan membentangkan kemas kini ekonomi musim luruh kepada Parlimen.
Dokumen tersebut menunjukkan bahawa kerajaan minoriti Liberal telah mencatatkan defisit bajet sebanyak $61.9 bilion dolar Kanada untuk tahun 2023/24, jauh lebih tinggi daripada yang diramalkan.
Trudeau juga menerima tekanan untuk berundur daripada Parti Demokrat Baharu, sebuah parti pembangkang lebih kecil yang awal tahun ini menarik sokongan tanpa syarat terhadapnya tetapi terus menyokong Perdana Menteri dalam beberapa rang undang-undang di Parlimen.
“Saya menyeru Justin Trudeau untuk meletakkan jawatan. Beliau mesti pergi,” kata pemimpin parti itu, Jagmeet Singh.
Itu merupakan kenyataan Jagmeet kepada wartawan yang pertama kali secara tegas menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Jagmeet juga tidak memberikan jawapan langsung kepada soalan sama ada partinya akan terus menyokong Trudeau, sebaliknya berkata, semua pilihan sedang dipertimbangkan.
Trudeau boleh dijatuhkan jika parti-parti pembangkang bersatu menentangnya melalui undi tidak percaya, tetapi itu tidak boleh dilakukan sehingga tahun depan.
Parlimen dijangka bercuti untuk perayaan Krismas pada Selasa dan tidak akan bersidang semula sehingga 27 Januari depan.
Ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre berkata, kerajaan kini berada dalam keadaan yang tidak terkawal.
“Kita tidak boleh menerima kekacauan, perpecahan dan kelemahan seperti ini ketika kita sedang berdepan ancaman tarif 25 peratus dari rakan dagang terbesar kita,” katanya kepada wartawan.
Freeland menyatakan, beliau meletakkan jawatan selepas pertemuan pada Jumaat lepas dengan Trudeau, yang memintanya memegang jawatan yang lebih rendah selepas kedua-duanya bertelagah selama beberapa minggu mengenai isu perbelanjaan.
Sumber Parti Liberal mendakwa, Trudeau ingin Freeland memegang jawatan sebagai menteri tanpa portfolio yang menangani hubungan Kanada-AS hanya pada nama – tindakan dianggap sebagai ‘turun pangkat.’ - Agensi