Dalam sidang media sebentar tadi, Trudeau bagaimanapun berkata, beliau akan kekal sebagai Perdana Menteri sehingga pemimpin baharu dipilih.
Jelas pemimpin berusia 53 tahun itu, keputusan meletak jawatan dibuat selepas berbual panjang dengan keluarganya.
"Negara ini berhak mendapat pilihan lain pada pilihan raya akan datang," katanya dalam sidang media yang disiar BBC.
Menjawab pertanyaan wartawan, Trudeau berkata satu kekesalannya ketika menggalas jawatan Perdana Menteri adalah kegagalannya memperkenalkan reformasi pilihan raya.
Tahap populariti Trudeau merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan pemerintah pentadbirannya terselamat daripada beberapa undi tidak percaya dan para pengkritik menggesa agar beliau meletak jawatan.
Trudeau berikrar untuk terus berkhidmat bagi membimbing Parti Liberal hingga ke pilihan raya yang dijadual diadakan pada Oktober 2025.