Perdagangan dua hala melonjak sebanyak 25 peratus selepas Kanada menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis.
Menurut MITI, CPTPP turut membuka akses bebas duti bagi perdagangan barangan antara kedua-dua negara, sekali gus menghapuskan tarif untuk eksport utama Kanada.
"Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan eksport Malaysia ke Kanada sebanyak 68.1 peratus dan import dari Kanada sebanyak 16.8 peratus dengan sektor utama seperti teknologi bersih, pertanian dan aeroangkasa terus menjadi penyumbang utama kepada hubungan perdagangan yang lebih erat," katanya.
Sementara itu, MITI berkata, industri halal turut membuka peluang kerjasama baharu antara Malaysia dan Kanada.
Katanya, pasaran halal Kanada yang bernilai 1 bilion dolar Kanada (C$1=RM3.12) menawarkan potensi besar kepada pengeluar Malaysia terutamanya dalam produk makanan dan minuman.
"Dengan lebih 1.15 juta penduduk Muslim di Kanada, permintaan terhadap produk halal semakin meningkat.
"Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran ini melalui kerjasama strategik dan peningkatan pelaburan dalam industri halal, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri global ini," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari Kanada, Justin Trudeau di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini, semalam.
Sidang kemuncak itu berlangsung secara rasmi pada Rabu hingga hari ini.
Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan itu pada 1 Jan 2025. - BERNAMA