Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai, yang juga pemangku perdana menteri, berkata Kementerian Kewangan melaporkan bahawa draf kerangka kerjasama itu adalah kolaborasi antara kerajaan Indonesia, Malaysia dan Thailand untuk menggalakkan pembangunan ekonomi.
"Objektif kerangka ini adalah untuk menggalakkan dan menyokong integrasi ekonomi; untuk memulakan aktiviti perdagangan subserantau dan memudahkan pengangkutan dalam arah yang sama, dan untuk mengukuhkan kastam, imigresen dan kuarantin.
"Semua ini akan memudahkan pergerakan sumber antara negara kontrak; memudahkan prosedur kastam, imigresen dan kuarantin; menjadikan peraturan dan proses lebih telus, serta memperbaiki pengurusan rantaian bekalan untuk mengurangkan kos transaksi; meningkatkan keselamatan perdagangan, dan meningkatkan kecekapan pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini pada Selasa.
Beliau berkata Kabinet meluluskan draf kerangka itu dan ia dijangka ditandatangani dalam Mesyuarat Menteri IMT-GT akan datang.
Phumtham berkata kerangka kerjasama itu akan mempromosikan peranan Thailand dalam arena antarabangsa dengan memanfaatkan pembangunan kerjasama di peringkat subserantau di bawah IMT-GT untuk menarik sektor swasta dan pelabur beroperasi atau melabur di Thailand.
"Pergerakan rentas sempadan barangan dan orang dalam negara berkontrak akan dipermudah, mengurangkan langkah dan komplikasi dalam prosedur agensi berkaitan di bawah draf kerangka itu," katanya.
Phumtham menambah bahawa ia juga akan mengukuhkan keselamatan dan keamanan rantaian bekalan untuk pergerakan barangan dan orang di peringkat subserantau.
-- BERNAMA