Angka kematian kebakaran di pusat membeli-belah di kota Kemerovo, Siberia meningkat kepada 53 orang, kata Kementerian Kecemasan Rusia.

Kebakaran tersebut telah menyebabkan kebanyakan tingkat di atas pusat membeli-belah yang menempatkan panggung wayang dan taman permainan kanak-kanak musnah dijilat api.

Kebakaran yang disifatkan sebagai kebakaran terburuk semenjak perang Kesatuan Soviet berakhir itu telah mengakibatkan kesukaran untuk melakukan kerja-kerja menyelamat terutamanya di tingkat atas.

Menurut pasukan penyelamat Rusia, mereka telah mendirikan pusat pencarian berdekatan pusat membeli-belah tersebut agar ahli keluarga dan kenalan rapat dan mengemukakan kehilangan ahli keluarga mereka.

Manakala, menurut pasukan penyiasat, empat individu termasuk pemilik dan penyewa kedai ditahan bagi membantu siasatan.

Berdasarkan laporan awal kejadian, 11 daripada jumlah mangsa yang terkorban adalah kanak-kanak.

Dalam kejadian pada Ahad itu, 43 pengunjung lain dilapor mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital.

Suruhanjaya Siasatan Rusia mengesahkan 69 pengunjung termasuk 40 kanak-kanak masih hilang dan usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan di pusat beli belah bertingkat berkenaan.

BACA: 11 kanak-kanak antara 37 maut dalam kebakaran pusat beli belah

Laporan awal menyebut kejadian berpunca dari kawasan permainan kanak-kanak.

Kebakaran dikatakan bermula di kawasan permainan trampolin yang terbakar akibat percikan pemetik api yang didakwa digunakan salah seorang mangsa.