PUTRAJAYA: Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam situasi banjir besar susulan hujan lebat berterusan sejak 29 Okt di wilayah Valencia, Sepanyol, menurut Kementerian Luar.

Dalam kenyataan pada Khamis, kementerian itu memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Madrid sedang memantau keadaan dengan rapi dan menggesa rakyat Malaysia di Sepanyol agar terus berwaspada serta mematuhi panduan daripada pihak berkuasa tempatan.

"Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada kerajaan serta rakyat Sepanyol, khususnya kepada mangsa yang terkesan akibat banjir ini.

"Malaysia mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh dan usaha membaik pulih harta benda serta infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lancar," menurut kenyataan itu.

Mereka yang belum mendaftar atau mengemas kini maklumat peribadi disarankan berbuat demikian melalui https://ekonsular.kln.gov.my/.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan di Ave. de los Madronos 63B, 28043 Madrid, melalui telefon di +34659894943 (talian 24 jam), atau melalui e-mel di mwmadrid@kln.gov.my.

Sepanyol sedang menghadapi bencana banjir terburuk dalam beberapa dekad, dengan sekurang-kurangnya 95 orang maut dan puluhan lagi dilaporkan hilang, selepas hujan lebat melanda wilayah timur Valencia dan kawasan sekitarnya, menurut laporan media antarabangsa.

Perdana Menteri Pedro Sanchez telah mengisytiharkan tiga hari berkabung ketika keadaan ekstrem itu berterusan, menyekat usaha penyelamatan.

-- BERNAMA