BERLIN: Jerman menderma 100,000 dos vaksin mpox daripada stok tenteranya kepada negara Afrika yang terjejas akibat penyakit itu, kata jurucakap kerajaan Steffen Hebestreit di Berlin pada Isnin.

Dalam jangka masa sederhana, Jerman bersama rakan kongsi Eropah, juga akan menyokong Kesatuan Afrika dalam menubuhkan pengeluaran vaksin tempatan, katanya dipetik oleh Agensi Akhbar Jerman.

Menurut maklumat yang diberikan, kaedah sebenar vaksin akan sampai ke kawasan yang terjejas masih belum dimuktamadkan.

Kerajaan Jerman menyokong negara yang terjejas, seperti Republik Demokratik Congo, melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dengan wang dan juga membawa kepakaran daripada institusi pakar Jerman.

Sudah diketahui bahawa makmal bergerak untuk mengesan virus itu akan dihantar ke Republik Demokratik Congo.

Pakar sedang dilatih untuk mengenali gejala penyakit dan mendidik penduduk tentang langkah pencegahan.

WHO baru-baru ini mengisytiharkan tahap amaran tertinggi disebabkan wabak mpox di Afrika dan varian baharu yang berpotensi lebih berbahaya. Selain Republik Demokratik Congo, Burundi dan negara jiran juga terjejas.

-- BERNAMA