TOKYO: Jepun sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah ketibaan antarabangsa kepada 10,000 sehari berbanding 7,000, bermula April ini dan melonggarkan kawalan sempadan COVID-19, memetik sumber kerajaan pada Selasa.

Menurut berita Kyodo, Perdana Menteri Fumio Kishida berkata kerajaan akan melonggarkan kawalan sempadan secara berperingkat dengan mengambil kira situasi jangkitan di dalam dan luar negara serta langkah kawalan sempadan yang dilaksanakan negara lain.

Sebelum ini, langkah kawalan sempadan itu menerima kritikan hebat kerana disifatkan terlalu ketat.

Penularan varian Omicron dilihat semakin perlahan di kebanyakan kawasan dan bandar seperti Tokyo mahu sekatan antivirus ditamatkan seperti dijadualkan iaitu Isnin depan.

Pada akhir November Jepun melarang kemasukan warga asing bukan pemastautin sebagai langkah pencegahan berikutan kemunculan Omicron.

Memandangkan ramai pelajar asing sedang menunggu menyambung pengajian di Jepun, kerajaan memaklumkan akan memberi keutamaan kepada kemasukan pelajar.

Kebanyakan pelajar dijangka tiba pada akhir Mei, kata jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno.

-- BERNAMA