KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerokai peluang berkongsi kepakaran, pemindahan teknologi rehabilitasi terkini dan pembangunan kemahiran tinggi dalam Industri Cybernics serta Masyarakat 5.0 bersama syarikat Jepun Cyberdyne Inc.


Ringkasan AI
  • Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menjalinkan kerjasama dengan syarikat Jepun Cyberdyne Inc. untuk mengimprovisasi teknologi pemulihan anggota badan dan pembangunan kemahiran tinggi, terutamanya dalam Industri Cybernics serta Masyarakat 5.0.
  • Perkeso bersama Cyberdyne Inc. dan Universiti Tsukuba melaksanakan program pembangunan sumber manusia dan robotik dengan teknologi seperti HAL yang membantu kanak-kanak dengan gangguan saraf untuk berjalan dan Acoustic X Cyberdyne LED Imaging System yang memperbaiki pengimejan perubatan.
  • Melalui kerjasama ini, Malaysia akan mendapat lapan teknologi baharu yang belum pernah digunakan mana-mana negara, dan pemeteraian perjanjian sewaan peralatan rehabilitasi serta sut robot HAL dijangka meningkatkan prestasi program kembali bekerja pesakit yang terlibat.


Menteri berkenaan Steven Sim Chee Keong berkata kerjasama menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan pelopor teknologi moden pemulihan anggota berpangkalan di Tsukuba itu memberi nilai tambah apabila lapan teknologi baharu yang belum pernah digunakan mana-mana negara bakal diberikan kepada Malaysia.

Beliau berkata Perkeso turut memeterai kolaborasi bersama Cyberdyne Inc dan Universiti Tsukuba bagi meningkatkan pembangunan sumber manusia dan kemahiran robotik seperti HAL (Hybrid Assistive Limb) yang membantu kanak-kanak dengan gangguan saraf untuk berjalan serta Acoustic X Cyberdyne LED Imaging System menawarkan masa nyata pengimejan foto akustik yang berupaya meningkatkan diagnostik perubatan.

"Cyberdyne Cyin membantu memperkasakan potensi individu dengan limitasi fizikal yang serius untuk berkomunikasi dan mengawal persekitaran mereka melalui isyarat bio-elektrik serta LPixel memudahkan diagnosis dan penyelidikan perubatan melalui analisis imej sains hayat," menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Perkeso pada Isnin.

Kenyataan itu menyebut ia adalah antara hasil lawatan kerja pertama Sim ke Jepun dari 22 hingga 28 Mei lepas yang sekali gus mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun termasuk membabitkan aspek perlindungan keselamatan sosial.

Sim turut mengadakan perbincangan dua hala bersama Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc merangkap Pengarah Eksekutif Penyelidikan Pusat Penyelidikan Universiti Cybernics Tsukuba Profesor Yoshiyuki Sankai.

Beliau berkata Kesuma melalui Perkeso juga berjaya memuktamad perjanjian sewaan 50 set peralatan rehabilitasi dan sut robot HAL dengan penjimatan kos mencecah hampir 20 peratus berbanding harga pasaran.

"Penambahan 50 set HAL bernilai RM20.5 juta berbanding harga pasaran semasa RM24.8 juta ini akan ditempatkan di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Rehabilitasi Cybernics Kebangsaan Perkeso yang bakal beroperasi di Meru, Ipoh kelak," katanya.

Menurut Perkeso, sut robot HAL yang mula digunakan di Pusat Rehabilitasinya sejak November 2018 menerusi 24 unit awal sebelum meningkat kepada 126 unit ketika ini telah membantu 2,514 pesakit khususnya melibatkan gangguan neuromuskular (strok dan kecederaan saraf tunjang).

"Daripada jumlah ini, 55.24 peratus atau 1,389 pesakit berjaya kembali bekerja manakala selebihnya masih dalam proses menjalani rawatan, rehabilitasi dan penempatan pekerjaan, justeru kerjasama antara Perkeso, Cyberdyne Inc dan Universit Tsukuba ini diyakini mampu menjadi pemangkin prestasi program kembali bekerja sedia ada," katanya.

Sim pula berkata penempatan pusat penyelidikan dan pembangunan Perkeso di blok baharu pusat rehabilitasi di Melaka, yang dijangka mula dibina menjelang suku ketiga tahun ini, bakal memacu kemajuan Industri Cybernics 5.0 di Malaysia.

-- BERNAMA