KUALA LUMPUR: Jenazah Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh akan dibawa ke Doha, Qatar selepas majlis penghormatan terakhir di Tehran yang dijadual pada Khamis sekitar jam 8 pagi waktu tempatan.

Memetik portal Al Jazeera, kumpulan Hamas dalam kenyataan pada Rabu, berkata selepas majlis penghormatan terakhir berlangsung di ibu negara Iran itu, jenazah Ismail kemudian akan dikebumikan di ibu negara Qatar pada Jumaat.

Ismail, 62, dipercayai terkorban dalam serangan peluru berpandu yang disasarkan di sebuah bangunan ketika acara angkat sumpah Presiden Iran yang baharu di Tehran pada awal pagi Rabu, memetik laporan AFP. 

Susulan serangan itu, pemimpin-pemimpin dunia termasuk Malaysia, Iran dan Turki mengecam keras tindakan Israel yang didakwa telah melanggar undang-undang antarabangsa.

Israel pada Rabu, mengeluarkan kenyataan ringkas yang menyebut negara itu sedang menjalankan siasatan penilaian atas tragedi yang menimpa pemimpin tertinggi Hamas itu. 

Pada Jun lepas, sekurang-kurangnya 10 ahli keluarga Ismail termasuk kakaknya terkorban dalam serangan udara Israel di kem pelarian Beach, Gaza.