Hamas mendesak pihak pengantara untuk campur tangan dalam penangguhan pembebasan tahanan Palestin oleh Israel.

Perkara itu dikeluarkan pegawai Hamas selepas Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengarahkan penangguhan pembebasan tahanan Palestin pada Khamis di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza.

Menurut kenyataan pejabat perdana menteri Israel, penangguhan itu sehingga keselamatan tebusan Israel dijamin dalam beberapa hari akan datang.

Memetik Reuters, penangguhan itu juga susulan suasana kecoh di salah satu lokasi penyerahan yang mana orang ramai mengerumuni tebusan.

Hamas menyerahkan tiga warga Israel dan lima tebusan Thailand di Gaza pada Khamis.

"Penyerahan tebusan itu dengan dikerumuni orang ramai adalah mengejutkan selain mengundang risiko keselamatan termasuk kematian dan kecederaan," jelas Netanyahu.

Sebanyak 110 tahanan Palestin dijangka dibebaskan pada Khamis sebagai sebahagian daripada perjanjian berperingkat gencatan senjata.

Seorang pegawai Israel yang terlibat dalam operasi itu berkata bas yang membawa tahanan telah diarahkan untuk kembali ke penjara sebagai tindak balas kepada suasana kecoh di Gaza.