DAMSYIK: Tiga peluru berpandu Israel mengenai sebuah kilang kereta Iran di wilayah tengah Homs, Syria pada Ahad, lapor Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, menurut Xinhua.

Serangan udara yang menyasarkan kilang di Zon Perindustrian Hasya di kawasan luar bandar selatan Homs menyebabkan kerosakan dan kepulan asap, menurut kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain itu.

Faktor menyebabkan serangan itu masih tidak diketahui, kerana kilang berkenaan kosong, katanya. Walaupun tiada pengesahan rasmi, televisyen negara Syria melaporkan bahawa satu letupan didengar dari salah satu kilang di Hasya dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan puncanya.

Israel kerap melakukan serangan udara di Syria, menyasarkan apa yang dikatakannya sebagai kedudukan yang dikaitkan dengan Iran dan Hezbollah Lubnan.

Serangan terbaharu ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang meningkat di rantau itu, ketika Israel meningkatkan serangan udaranya di Syria sepanjang minggu lepas sebagai sebahagian daripada konfrontasi serantau dengan Iran dan Hizbullah.

-- BERNAMA