KUALA LUMPUR: Rejim Israel ketika ini dalam kedudukan bertahan susulan pelbagai tekanan serta impak negatif yang dirasai susulan kempen perang ke atas Gaza.

Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, salah satu kaedah untuk memulihkan kembali imej negara haram itu adalah dengan menampilkan dirinya sebagai mangsa dalam serangan oleh Iran.

“Dari segi kemanusiaan, Israel menerima impak negatif daripada apa yang berlaku di Palestin. Isu terbaharu (serangan Iran ke atas Israel) ini digunakan sebagai percaturan untuk memulihkan imej Israel, seolah-olah berdepan dengan ancaman lain di Timur Tengah.

“Namun begitu, kita tahu bahawa Israel melaksanakan operasi-operasi untuk meneutralisasikan ancaman kepada rejim mereka. Sebelum serangan 1 April ke atas Syria, Israel pernah melakukan operasi yang sama dalam Iran sendiri. Ada pakar-pakar sains Iran yang dibunuh ajen perisikan Israel, Mossad,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Israel kini dalam mod defensif - Penganalisis

Pembantaian Israel ke atas Palestin telah mencetuskan pelbagai reaksi, selain merekodkan peningkatan angka korban yang mencecah hampir 34,000 orang setakat Ahad.

Meskipun Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Amerika Syarikat telah mengarahkan Israel untuk menghentikan serangan serta memastikan keselamatan orang awam terjamin, namun hal itu tidak diendahkan oleh rejim zionis.

Kini, konflik di rantau itu memuncak ke tahap baharu susulan serangan Iran yang menggunakan dron dan peluru berpandu ke atas Israel pada Sabtu sebagai tindak balas kepada serangan maut Israel ke atas konsulatnya di Damsyik, Syria pada 1 April lepas.


Agenda AWANI: Perang Iran-Israel | Fokus Bebaskan Palestin