KUALA LUMPUR: Iran melepaskan peluru berpandu balistik ke arah Israel pada Selasa sebagai tindak balas terhadap serangan zionis terhadap sekutunya Hezbollah di Lubnan.

Penggera amaran dibunyikan di seluruh Israel dan letupan boleh didengari di Baitulmaqdis dan lembah Sungai Jordan sementara rakyat Israel berkumpul di tempat perlindungan bom.

Malah Wartawan Reuters melihat peluru berpandu dipintas di ruang udara negara jiran Jordan.


Laporan media Israel mengatakan sebanyak 100 peluru berpandu telah dilancarkan.

Sebelum ini, pihak tentera telah mengumumkan bahawa sebarang serangan peluru berpandu balistik dari Iran dijangka berleluasa dan menasihatkan orang ramai untuk berlindung di bilik selamat sekiranya berlaku serangan.

Malah Iran berikrar untuk bertindak balas susulan serangan yang membunuh kepimpinan tertinggi Hezbollah di Lubnan.

Tembakan peluru berpandu berlaku selepas Israel berkata tenteranya telah melancarkan serangan darat ke Lubnan, walaupun ia menyifatkan serangan itu terhad.

Kempen Israel di Lubnan adalah peningkatan terbesar peperangan serantau sejak pertempuran meletus di Gaza setahun lalu.