PRESIDEN Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, serangan peluru berpandunya ke atas Israel semata-mata untuk mempertahankan kepentingan negara dan rakyatnya.

Dalam masa sama, negara itu memberi amaran kepada Israel, pelancaran peluru berpandu balistik pada Selasa merupakan "hanya sebahagian daripada kuasa kami."

“Tindakan ini adalah untuk membela kepentingan dan rakyat Iran. Untuk memberitahu (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu bahawa Iran tidak berperang, tetapi ia berdiri teguh menentang sebarang ancaman.

“Jangan terlibat dalam konflik dengan Iran,” tegas Masoud memberi peringatan kepada Israel dalam hantaran beliau di platform X

Dalam perkembangan sama, pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dalam mesej yang sama di X juga senada dengan Masoud menegaskan, "serangan" terhadap Israel akan menjadi "lebih kuat dan lebih menyakitkan."

“Dengan bantuan Tuhan, serangan daripada barisan kebangkitan akan menjadi lebih kuat dan lebih menyakitkan ke atas tubuh rejim Zionis yang uzur dan reput,” katanya.

Serangan peluru berpandu balistik itu berlaku selepas Israel melancarkan operasi darat merentasi sempadan utaranya ke Lubnan yang menyasarkan kumpulan pejuang Hezbollah yang disokong Iran.

Israel turut membunuh pemimpin tertinggi Hezbollah, Hassan Nasrallah dalam serangan udara pada Jumaat lalu dan memusnahkan kepimpinan pasukan separa tentera paling berkuasa di Asia Barat sekali gus meningkatkan kebimbangan perang serantau baharu.