TEL AVIV: Seramai lapan tentera rejim Zionis terbunuh ketika berhadapan dengan pasukan pejuang Hezbollah di di Lubnan, kata tentera Israel pada Rabu.

Kesemua mereka maut dalam dua pertempuran berasingan di selatan Lubnan - salah satunya ialah serangan hendap berhampiran terowong Hezbollah - selepas Yahudi melancarkan pencerobohan darat terhad di sana minggu ini, menurut Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Kapten Eitan Itzhak Oster iaitu komando berusia 22 tahun dalam Unit Komando Egoz elit merupakan kematian rasmi pertama yang dilaporkan dalam kalangan tentera Israel sejak pencerobohan bermula selepas terlibat dalam pertempuran senjata dengan Hezbollah.

Empat lagi dari unitnya turut terbunuh selain lima lagi cedera parah dalam pertempuran itu, kata IDF.
Dalam pertempuran kedua pula, seorang pegawai dan dua anggota lain dilaporkan maut di tangan pasukan Heszbollah.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan, sejumlah tentera Israel terbunuh selepas diserang hendap berhampiran terowong Hezbollah berhampiran perkampungan Odaisseh di selatan Lubnan.

Hezbollah pula mendakwa, pasukannya telah mencederakan dan membunuh sekumpulan askar Israel selepas meletupkan bahan letupan.

Ketua media Hezbollah, Mohammad Afif berkata, pertempuran itu hanya "pusingan pertama" dan kumpulan itu mempunyai pejuang, senjata dan peluru yang mencukupi untuk menolak Israel.

Tentera Israel mengesahkan ia mengukuhkan kehadirannya dengan memanggil unit infantri dan perisai biasa untuk menyertai operasi daratnya di Lubnan - sehari selepas Iran menyerang Israel dengan peluru berpandu balistik bertubi-tubi. - Agensi